Keputusan PRN: Azalina akui BN, PH kurang bersedia dalam perang media sosial
Sinar Harian
Ogos 16, 2023 17:20 MYT
Ogos 16, 2023 17:20 MYT
SHAH ALAM : Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak bersedia dalam peperangan media sosial ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Beliau berkata, BN-PH masih menggunakan pendekatan konservatif untuk berkempen seperti pergi rumah ke rumah dan berceramah secara fizikal di tempat awam.
"PH dan BN mewujudkan kempen yang bersih, kita ikut syarat, tetapi kalau tengok parti lawan, tidak pasang bendera besar, kenderaan pun tak pernah tengok.
"Kalau nak kira satu persatu, ini bukan tradisi pilihan raya yang sebenarnya dan BN tidak pernah (ubah) tradisi sedemikian," katanya pada program diskusi 'Analisa PRN 2023 Di Mana Silapnya?' yang disiarkan di laman sosial UMNO Online pada Rabu.
Dalam pada itu Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) berkata, peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar ditukar sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang agar definisi kempen dapat diperhalusi sesuai dengan penggunaan platform media sosial.
Beliau menjelaskan, pengiklanan politik yang tidak terkawal boleh menyebabkan makna sebenar berkempen dalam pilihan raya tidak capai objektifnya.
"Kita mesti membezakan kerajaan dengan parti politik. Iklan di TikTok (berbayar) kalau nak capai 10 juta hingga 100 juta pengguna. Saya nak tanya, adakah itu 'fairplay' dalam makna sebenar pilihan raya.
"Kita dah menggunakan pilihan raya sebagai platform perniagaan dan keduanya, kita gunakan platform pengiklanan sebagai pilihan raya.
"Kalau tawarkan seorang calon, kita nak dia berkhidmat lima tahun, bukan nak penjenamaan atau jual brand. Kita jual perkhidmatan, itu sebabnya mungkin PH dan BN adalah satu parti politik yang tradisional, menggunakan tradisi kempen," ujarnya. - Sinar Harian