Keputusan PRK Cameron Highlands bukan ukuran bagi PRK Semenyih - Amirudin
Fareez Azman
Februari 1, 2019 18:52 MYT
Februari 1, 2019 18:52 MYT
Momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands tidak boleh diukur dalam Pilihan Raya Kecil Semenyih Mac depan.
Menurut Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Kerajaan Negeri dan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kelebihan dalam memastikan kemenangan berpihak kepada PH.
Isu Pokok
Namun beberapa isu tempatan jelasnya, perlu diberi perhatian terutama membabitkan infrastruktur luar bandar di Semenyih.
“Sedikit sebanyak isu tempatan akan jadi isu pokok di Semenyih dan saya percaya kita (PH) masih ada kelebihan kalau dikira Cameron Highlands memang Cameron Highlands sebelum ini kita kalah pun saya sebutkan tadi kalau dilihat lebih mendalam, masing masing mengalami penurunan.
"Penurunan BN sebab orang tidak puas hati sebab calon UMNO? Susah juga hendak ditentukan, sebab masing-masing mengalami seribu undi kurang, calon Pas bergabung dengan UMNO dan Pakatan Harapan juga seribu undi berkurang,” jelasnya beliau ditemui selepas menghadiri Bicara Minda bersama Menteri Besar Selangor anjuran Sinar TV di Shah Alam pada Jumaat.
Malah tambahnya, tempoh sembilan bulan mengambil alih Kerajaan Pusat bukan satu tempoh yang panjang mahupun pendek untuk melihat prestasi keseluruhan PH.
Sebaliknya keputusan Pilihan Raya Umum terhadap dua buah negeri Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan bahawa Pakatan Harapan menjadi pilihan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Kajian Selidik Ilham Centre akhir tahun lalu dimana 60 peratus orang Melayu didapati tidak berpuas hati dengan prestasi PH.
Nasib BN harus jadikan pengajaran
Ujarnya, semua pihak (dalam kerajaan) perlu memain peranan dalam menyelesaikan isu dialami rakyat agar nasib yang menimpa BN pada PRU lalu tidak berulang kepada PH.
“Kita kena belajar sejarah yang berlaku kepada BN dimana ia boleh berlaku terhadap kita (PH), jika lalai, ego dan ada sindrom penafian,' katanya lagi.
Sejak kejatuhan bermula 2008, jelasnya BN ditolak oleh rakyat di negeri itu kerana gagal menyelesaikan isu rakyat.
"Sebab itu saya selalu ingatkan pada diri saya sendiri dan semua rakan seperjuangan dimana PH perlu dengar keluhan rakyat dan perbetulkan setiap kesilapan seperti di Selangor dan Pulau Pinang kita mendapat kepercayaan rakyat setiap pilihan raya,” kata Amirudin lagi.
#Amirudin Shari
#Barisan Nasional
#calon
#Cameron Highlands
#kerajaan
#Melayu
#menteri
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#pilihan raya umum
#PRU
#rakyat
#Semenyih
#shah alam
#Sinar TV
#UMNO