Keputusan Presiden, MKT lemahkan kebangkitan UMNO

Sinar Harian
Januari 27, 2023 07:15 MYT
Syed Mohd Syed Nasir turut mendakwa, keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO tidak ubah seperti menghancurkan parti itu sendiri. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Keputusan Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO didakwa hanya akan melemahkan parti itu dalam usaha untuk kembali bangkit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tahun ini.
Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Syed Nasir berkata, sepatutnya Presiden parti perlu bijak membezakan antara dendam politik dan perjuangan mengimbangi kuasa agar Pakatan Harapan (PH) tidak memusnahkan mereka dalam diam.
“Tindakan dan keputusan malam ini (Jumaat) akan dibalas oleh rakyat dalam PRN nanti.
“Setiap tindakan atau strategi parti pasti akan ada kesannya. Timbal balik dan impak yang UMNO bakal terima adalah pertaruhan Presidennya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mesyuarat MKT UMNO pada Jumaat memutuskan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti.
BACA: KJ, Noh dipecat, Hishammuddin, Shahril digantung keahlian UMNO
Selain Khairy, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Syed Mohd turut mendakwa, keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO tidak ubah seperti menghancurkan parti itu sendiri.
“Ini masa depan parti yang dibuat sesuka hati oleh orang-orang yang membodek, mengangkat dan menjulang Presiden ke langit sehinggakan tidak sedar dengan kehancuran yang berlaku di bawah
“Rakyat dah tolak kita, dengarlah suara kami di bawah ini,” ujarnya. -Sinar Harian
#Syed Mohd Syed Nasir #UMNO #PH #keputusan
;