'Keputusan perit tapi perlu dilakukan' - Lim Kit Siang

Hakim Rahman
April 6, 2018 21:13 MYT
Keputusan DAP untuk tidak guna logo parti itu dalam PRU14 di Semenanjung memeritkan tapi perlu dilakukan. - Gambar fail
Keputusan DAP untuk tidak menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya akan datang adalah keputusan paling memeritkan dan melukakan namun perlu dibuat semua pemimpin.
Pemimpin Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Pakatan Harapan (PH) terpaksa berbuat demikian untuk memperlihatka perpaduan dan kesediaan bersama untuk menyelamatkan Malaysia dari kleptrokrasi.
"Kami mahu memastikan bukan sahaja calon individu dan DAP boleh menang pada Pilihan Raya Umum ke-14, kami juga ingin memastikan semua calon PH dapat membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.
"Cadangan supaya PKR, Amanah dan Bersatu bertanding menggunakan logo bersama Harapan manakala DAP kekal menggunakan logo roket bukan satu pilihan kerana kita mesti dapat menyakinkan pengundi dengan mesej bahawa semua empat parti bersatu sebagai satu kuasa politik," katanya.
Gabungan pembangkang gagal menggunakan logo Harapan kerana ia tidak diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang juga memerintahkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam.
BACA: PPBM dibubar sementara - RoS
BACA: DAP tidak guna logo 'roket' di Semenanjung
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata tindakan DAP untuk tidak menggunakan logo roket parti itu sebagai pilihan lain selepas gabungan PH gagal didaftarkan.
"Paling utama ialah mengelakkan Barisan Nasional (BN) mengatakan DAP merupakan ketua dalam PH serta gagal membuat keputusan bersama dalam logo sekali pun.
"ini pertama kali strategi ini digunakan bagi pihak pembangkang setelah gabungan rasmi Pakatan Harapan gagal didaftarkan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hisommudin menjangkakan PH akan menggunakan logo PRK sebagai simbol kesatuan memandangkan parti itu merupakan parti dominan dalam PH.
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan logo bersama mereka pada satu perhimpunan di Pasir Gudang, Johor, malam ini.
#Barisan Nasional #calon #Dr Mahathir Mohamad #Lim Kit Siang #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #perpaduan #pilihan raya umum #PKR #PPBM
;