Keputusan MUDA sertai PH diumum dalam masa terdekat

Amirrul Rabbani
Oktober 9, 2022 01:45 MYT
CHANG LIH KANG: Saya tak nampak (MUDA) sebagai liabiliti, (sebaliknya) semua parti ada kekuatan masing-masing. Cuma apa yang kita bincangkan adalah dalam bentuk apa kita mahu bekerjasama. -FB Chang Lih Kang
PARIT BUNTAR: Permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) secara rasmi dijangka akan diputuskan dalam masa terdekat, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Chang Lih Kang.
Walau enggan mengulas lebih lanjut, beliau menyifatkan perkembangan perbincangan antara pimpinan PH berhubung perkara itu sebagai sesuatu yang baik.
Katanya, beberapa siri perbincangan telah diadakan dalam PH sebelum ini termasuk kali terakhir pada minggu lepas.
Ia susulan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji permohonan MUDA untuk menyertai gabungan itu.
Katanya, walaupun telah dibincangkan, namun ia masih belum dimuktamadkan, selain menyerahkan kepada Majlis Presiden PH bagi mengumumkan keputusannya.
“Memang daripada mana pun akan ada yang sokong, dan ada yang bangkang (soal permohonan MUDA mahu sertai PH). Namun yang penting keputusan akan dibuat oleh Majlis Presiden PH.
“Saya tak nampak (MUDA) sebagai liabiliti, (sebaliknya) semua parti ada kekuatan masing-masing. Cuma apa yang kita bincangkan adalah dalam bentuk apa kita mahu bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Himpunan Pakatan Harapan Perak Bangkit di Tanjung Piandang, dekat sini, Sabtu malam, yang turut dihadiri Pengerusi PH Nasional, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 6 September lalu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat parti itu untuk menyertai PH secara rasmi.
Media melaporkan ia disambut baik oleh parti-parti gabungan PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), manakala PKR sebaliknya.
Pada Rabu lalu, media melaporkan Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin berkata bahawa MUDA boleh menyertai PH hanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, pelbagai aspek perlu diambil kira oleh PH sebelum keputusan berhubung penyertaan MUDA itu diambil.
#Chang Lih Kang #muda #Parti Ikatan Demokratik Malaysia #Pakatan Harapan