Keputusan MKT bukti kesepaduan pimpinan tertinggi UMNO - Ramlan Askolani

Ridauddin Daud
April 15, 2022 18:58 MYT
MKT UMNO pada Khamis sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi PRU15 akan datang. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuktikan kesepaduan dalam pimpinan tertinggi parti.
Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani berkata, keputusan itu juga adalah tepat dan parti perlu menerima norma baharu bahawa Naib Presiden boleh menjadi Perdana Menteri.
Jelasnya, meskipun Ismail Sabri tidak memegang jawatan paling tinggi dalam parti namun beliau telah membuktikan dapat mentadbir Kabinet dengan baik.
BACA: MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU-15
“Walaupun nampak lembut tapi beliau telah buktikan beliau layak sebagai Perdana Menteri.
“Meskipun Datuk Seri Mohamad Hasan kini timbalan tapi sebab ada penangguhan pemilihan, kalau ditakdirkan kita menang PRU15, kita boleh fikirkan seperti jadikan Tok Mat sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Tapi kita perlu menang dulu dalam PRU15. Berkenaan cadangan untuk lantik Ismail Sabri sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula, ia boleh diambil kira tapi biarlah parti menentukannya,” katanya kepada Astro AWANI.
Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias yang berkata keputusan itu membawa erti pucuk pimpinan UMNO terutama “Top 5” terdiri daripada insan berjiwa besar, asalkan ia membawa keuntungan buat rakyat di negara ini.
[TERKINI] Tahniah Presiden, satu langkah ke hadapan - Annuar Musa
“Ini sekali gus menyanggah pendapat bahawa UMNO makin berpecah dan tidak mengambil iktibar dari kekalahan pada PRU14 yang lalu.
“Dengan menamakan Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri, ia membawa mesej betapa UMNO kini sedang berada pada puncak solidariti dan kesiapsiagaan terbaik bagi berhadapan PRU15,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
MKT UMNO pada Khamis sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi PRU15 akan datang.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.
Selain itu, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, MKT turut memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, yang berakhir 31 Julai ini, tidak akan diteruskan.
#Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #MKT UMNO #Zahid Hamidi #Mohamad Hasan #Barisan Nasional #pilihan raya #PRU15 #Ramlan Askolani
;