Keputusan Hadi tidak sertai PR 2.0 tepat - Nasrudin

Shuhami Zabri
September 21, 2015 22:01 MYT
NASRUDIN: PR versi asal masih utuh cuma perlu diperkukuh dengan lebih efektif. -Gambar fail
Pendirian teguh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak untuk menyertai Pakatan Rakyat (PR 2.0) merupakan keputusan yang tepat dan pintar.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata ketegasan itu memberi gambaran jelas bahawa PAS mempunyai matlamat tersendiri dalam menjamin masa depan parti itu daripada terjerumus ke dalam situasi yang keliru dan terumbang-ambing.
"PAS tidak berminat untuk menyertai PR 2.0 yang belum tentu wujud dan usaha mewujudkannya juga masih kabur sedangkan PRU 14 semakin hampir.
"PR versi asal masih utuh cuma perlu diperkukuh dengan lebih efektif," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Nasrudin menegaskan, komitmen PAS masih dalam PR kerana yang terputus hanya tahaluf dengan DAP dan bukannya dengan PR yang masih mempunyai dua komponen tahaluf iaitu PAS dan PKR.
Semalam, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, parti itu bersikap terbuka serta mahukan semua pihak, termasuk PAS dalam blok pembangkang baharu yang akan dibentuk.
Menurutnya, walaupun pas menolak pelawaan menyertai perbincangan meja bulat oleh PKR, namun pintu masih terbuka untuk PAS.
Sebelum ini, PAS dilaporkan tidak akan menyertai perbincangan meja bulat yang dianjur PKR kerana masih belum bersedia.
Persidangan meja bulat anjuran PKR bagi membincangkan pembentukan PR 2.0 dijadual berlangsung esok.
#HADI AWANG #Nasrudin Hassan #Pas Pusat #pr 2.0 #PRU 14
;