Keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah ditangguh 7 Februari
Shuhada Abdul Kadir
Januari 31, 2023 15:00 MYT
Januari 31, 2023 15:00 MYT
AYER KEROH: Mahkamah Tinggi Melaka hari ini menangguhkan keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menetapkan 7 Februari ini sementara mendapatkan hujahan tambahan daripada peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Mas Ermieyati dan peguam Rosfinah Rahmat yang mewakili calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid.
Hujahan tambahan adalah berkaitan interpretasi rasuah, urusan stem guaman dan pelantikan ejen pilihan raya oleh calon yang bertanding.
Anselm Charles sebelum ini menetapkan hari ini untuk keputusan bantahan awal petisyen berkenaan.
Ia selepas, Abdul Hakim pada 3 Januari lalu dilaporkan memfailkan petisyen itu atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.
Bantahan awal yang difailkan oleh Mas Ermieyati sebagai responden, antara lain mendakwa petisyen tersebut difailkan di luar waktu ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Selain itu, Abdul Hakim selaku pempetisyen didakwa melakukan kesilapan kerana tidak menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam petisyen tersebut.
Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dengan majoriti 4,411 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Abdul Hakim, Mutalib Uthman daripada parti Muda dan Handrawirawan Abu Nakar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).