Keputusan bahagian, sayap digantung dan dibatalkan perlu adakan pemilihan semula - Zahid

Astro Awani
Mac 18, 2023 00:53 MYT
Zahid (tengah) ketika ditemui selepas melawat petugas media yang membuat liputan keputusan Pemilihan Umno di Menara Dato Onn di sini, malam ini. - Foto AWANI
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) akan melakukan pemilihan semula ke atas mana-mana bahagian termasuk sayap parti itu yang berdepan masalah termasuk dibatalkan atau digantung keputusan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata penelitian kepada sesuatu masalah di peringkat bahagian dan sayap dilakukan JPU dan beliau sudah berbincang dengan Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir Samad berhubung perkara berkenaan.
"Ya ada saya terima laporan itu (masalah pemilihan di bahagian). Saya berbincangan dengan pengerusi JPU sama ada kita batalkan dengan mengadakan pemilihan semula.
"Mana-mana parti politik pun ada berlaku perkara sebegini, tetapi bukan bererti kita menyokong tindakan itu. Saya sendiri dan JPU di bahagian dan pusat akan melakukan penelitian dan siasatan sebelum dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti.
"Maka, tindakannya nanti adalah pembatalan dan pemilihan... satu agenda sahaja iaitu pemilihan atau pengundian di bahagian itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat petugas media yang membuat liputan keputusan Pemilihan Umno di Menara Dato Onn di sini, malam ini.
Dalam pada itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, permasalahan pemilihan di bahagian dan sayap tidak melebihi lima peratus.
Sementara itu, beliau memberitahu berpuas hati dengan sesi pemilihan jawatankuasa parti yang diadakan bagi sesi 2023-2026.
#Pemilihan UMNO #Zahid Hamidi #Presiden UMNO #UMNO
;