Keprihatinan kerajaan gagalkan pihak sengaja polemik isu MA63 - Mohd Bahrin
Astro Awani
Disember 10, 2017 15:32 MYT
Disember 10, 2017 15:32 MYT
Keprihatinan Perdana Menteri dalam hal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan menghapuskan usaha pihak tertentu mempolemikkan isu untuk kepentingan politik.
Setiausaha Pemuda UMNO Sabah Mohd Bahrin Abd Karim menjelaskan, ia bukti kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.
"Kenyataan terbuka Perdana Menteri itu menjawab segala kemusykilan atau polemik yang cuba dijaja pembangkang dengan memanipulasi isu MA63.
"Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri berhubung MA63, kerana ia mencerminkan sikap pimpinan kita yang sentiasa proaktif dalam perkara membabitkan kepentingan rakyat.
"Ini jelas memancarkan sikap kepedulian dan keprihatinan Datuk Seri Mohd Najib untuk menjamin hak, kepentingan rakyat dan negeri Sabah dalam perjanjian tersebut sentiasa terpelihara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017), Datuk Seri Najib antara lain menyatakan bahawa kerajaan sentiasa bersikap terbuka berhubung MA63 dan sedia mengembalikan apa yang mungkin terlepas pandang.
Mohd Bahrin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kota Kinabalu berkata, penegasan dan pendirian Presiden parti berhubung isu MA63 menunjukkan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan padu Pergerakan Pemuda UMNO Kota Kinabalu terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO Batu Sapi, Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan, mengenai penampilan lebih ramai muka baru termasuk dari kalangan orang muda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Kenyataan itu adalah pancaran hasrat dan pendirian Pemuda UMNO Sabah secara umum yang ingin melihat penyediaan barisan pelapis dalam kepimpinan parti dan kerajaan.
"Ia adalah proses peralihan secara tersusun demi kesinambungan perjuangan UMNO membela nasib rakyat terbanyak," katanya.
Cadangan penampilan lebih ramai muka baharu itu dibangkitkan oleh Khairul Firdaus ketika perbahasan sayap Pemuda pada Rabu.
Menurutnya, pandangan dan cadangan itu harus dilihat dalam perspektif lebih menyeluruh kerana ia sama-sekali tidak bermaksud menidakkan kepimpinan sekarang, sebaliknya sebagai persediaan melahirkan pimpinan Transformasi Nasional (TN50).
#MA63
#Najib Razak
#Pemuda UMNO
#Perjanjian Malaysia 1963
#TN50
#Transformasi Nasional 2050
#UMNO 4 0