Kepimpinan Pakatan Harapan baru tak mampu buat rakyat kagum - Mahdzir

Astro Awani
Julai 16, 2017 08:33 MYT
Mahdzir berkata, kepemimpinan gabungan pembangkang itu gagal memberi impak kepada masyarakat apabila mengetengahkan komposisi yang dilihat bercelaru. - Gambar fail
Gabungan barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang baru tidak mampu membuatkan rakyat kagum, jauh sekali berupaya menjadi pesaing Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid sebaliknya berkata, pembentukan gabungan itu yang diumumkan baru-baru ini hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinan mereka.
Malah katanya, kepemimpinan pembangkang juga jelas menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.
"Kalau kita tengok, nampak di situ dah tak sefahaman. Masing-masing ada sasaran hendakkan tempat (kedudukan), dan dia terpaksa bagi rakyat tengok.
"Kita nampak, dia cuba nak tengok orang Melayu boleh terima (atau tidak). Inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.
"Dan DAP hanya jadi salah seorang timbalan presiden Pakatan Harapan. Saya tak nampak 'impress' kepada masyarakat," katanya pada Majlis Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru di Bayan Baru malam tadi.
Tambah Mahdzir, barisan kepimpinan Pakatan Harapan juga dilihat seolah-olah tidur di katil yang sama namun mengalami mimpi masing-masing yang berbeza.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kepemimpinan gabungan pembangkang itu juga gagal memberi impak kepada masyarakat apabila mengetengahkan komposisi yang dilihat bercelaru.
Khamis lalu, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengumumkan struktur kepimpinan baharunya.
Gabungan parti pembangkang itu menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.
#kepimpinan baharu #Mahdzir Khalid #Pakatan Harapan #pembangkang
;