Kepimpinan baharu UMNO kukuhkan Kerajaan Perpaduan
Bernama
Mac 23, 2023 17:30 MYT
Mac 23, 2023 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dilantik bagi penggal 2023-2026 dilihat dapat memberikan kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata penganalisis politik.
Profesor Dr Azmi Hassan berkata ini kerana, tidak dapat dinafikan lagi sebahagian besar kepimpinan baharu yang dipilih tersebut majoritinya daripada kumpulan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
"Apabila Presiden mendapat sokongan daripada kumpulan Naib Presiden, Majlis Tertinggi dan ketua-ketua sayap, maka sudah pasti segala hala tuju yang dirancang Presiden juga menjadi mudah, yang secara tidak langsung memberi kesan kepada Kerajaan Perpaduan, walaupun bukan semua Ahli Parlimen UMNO berada dalam kepimpinan itu.
"Dan lebih penting hampir 30 peratus atau 54 muka baharu yang terpilih sebagai Ketua UMNO Bahagian, yang berjaya menewaskan calon yang menjadi mantan sebelum ini, menunjukkan akar umbi mahukan nafas baharu dalam kepimpinan UMNO itu sendiri," katanya kepada Bernama.
Beliau turut menjangkakan dengan kepimpinan UMNO yang baharu itu, masalah dalaman seperti percakaran dan sabotaj kepada parti sendiri yang sebelum ini memberi imej buruk kepada parti, tidak akan berulang.
"Sebelum ini, kepimpinan UMNO tidak dapat menumpukan tugas hakiki menguatkan parti kerana ada masalah dalaman, namun sekiranya perkara ini dapat diatasi dengan kepimpinan baharu, tidak mustahil lebih banyak strategi yang dapat dilakukan untuk memulihkan kembali reputasi UMNO," katanya.
Turut senada, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, kepimpinan UMNO yang dipilih kali ini dapat memantapkan parti itu sendiri, yang sekali gus menjadi penentu kestabilan Kerajaan Perpaduan.
"Keputusan pemilihan parti memberi mesej yang jelas, bahawa elemen yang mahu menggugat kerajaan dan memecahkan parti tersebut dari luar telah ditolak. Secara umumnya, kesemua pemimpin yang dilantik, baik yang lama atau baharu, kekal memperjuangkan UMNO dari dahulu hingga kini," katanya.
Mohd Azizuddin berkata mereka juga berdepan tanggungjawab besar, dalam memperkuatkan parti, walaupun sedang melalui senario politik yang mencabar.
"Oleh kerana itu, mereka perlu segera menyusun strategi antaranya bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri, akan datang," katanya yang yakin UMNO sebenarnya masih mendapat sokongan rakyat.
Sementara itu, penganalisis politik Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan, walaupun pimpinan baharu UMNO dikatakan majoritinya dari pasukan presiden, namun ada dalam kalangan yang dilantik merupakan mereka yang tewas.
"Ini menunjukkan Ahmad Zahid berjiwa besar melantik yang telah kalah, seperti Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, bermakna ia penting untuk kelangsungan parti agar tidak wujud perpecahan, sekali gus memberi impak kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan.
"Jadi, sesiapa yang dilantik atau dipilih, dilihat mampu menggalas tanggungjawab ke arah usaha pengukuhan, yang merupakan fasa penting kepada UMNO apatah lagi kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15," katanya.
Pada pemilihan Sabtu lepas, Mahdzir tewas bagi merebut kerusi naib presiden manakala Shahrizat gagal kembali sebagai ketua wanita, selepas kali terakhir memegang jawatan itu pada 2018.
Pada pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 baru-baru ini, tiga kerusi Naib Presiden yang dipertandingkan dimenangi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani; dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan 13 ahli MT UMNO 2023-2026 yang baharu, antaranya Shahrizat, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Ahmad Ismail, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah.
Turut dilantik sebagai MT ialah Datuk Hasmuni Hassan, Datuk Mohd Hasnol Ayub, Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid, Datuk Seri Jailani Johari, Datuk Norliza Abdul Rahim, Mohd Hairi Mas Shah dan Siti Sokhleha Nordin.
-- BERNAMA