Kepimpinan baharu MIC kembalikan keyakinan parti

Tan Su Lin
November 10, 2015 16:53 MYT
Sivarraajh menyifatkan sambutan Deepavali kali ini lebih bermakna buat parti berkenaan. - Gambar fail
Kepimpinan baharu MIC diyakini dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat India kepada parti berkenaan.
Menurut Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, barisan kepimpinan baharu yang terdiri daripada rata-rata golongan muda dan berpendidikan itu disifatkan sebagai tanda positif serta mampu memberi suntikan semangat dan nafas baharu kepada parti.
"Kalau kita lihat kepimpinan baharu yang dipilih pada pemilihan baru-baru ini, kebanyakannya orang muda dan berpendidikan. Saya melihat ini adalah perubahan positif dan dapat mengembalikan sokongan masyarakat India," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka deepavali anjuran MIC di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandran menyifatkan sambutan Deepavali kali ini lebih bermakna buat parti berkenaan.
Susulan kemelut parti yang berakhir dengan pemilihan parti Jumaat lalu, sambutan Pesta Cahaya dilihat dapat merapatkan barisan kepimpinan dan anggota parti.
"Biarpun perayaan Deepavali diraikan adalah setiap tahun tetapi kali ini ia lebih bermakna kerana baru selepas beberapa hari pemilihan parti.
"Saya percaya program ini dapat menyatukan kita semua kerana memang tidak dinafikan wujud pertandingan antara calon-calon tetapi kita boleh melihat contohnya, kedua-dua calon timbalan presiden hadir majlis rumah terbuka ini. Ia satu perkembangan sihat yang berlaku di MIC," katanya.
Hadir pada majlis rumah terbuka MIC adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam pada majlis berkenaan.
Ribuan orang ramai terdiri daripada masyarakat berbilang kaum turut hadir memeriahkan sambutan itu.
#barisan kepimpinan #Deepavali #ketua pemuda #MIC #S Subramaniam #Sivarraajh Chandran
;