Keperluan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah perlukan penjelasan - Peguam Negara

Kenyataan Media
November 14, 2019 15:29 MYT
Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya tidak merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.
Peruntukan dibuat pihak polis terhadap keperluan permit bagi kempen Pilihan raya Kecil (PRK) adalah tidak jelas, demikian kata Peguam Negara, Tommy Thomas.
Justeru katanya, satu penjelasan lanjut mengenai kontroversi itu diperlukan.
Menurut beliau, Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihanraya tidak merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari pintu ke pintu.
“Hakikatnya sejarah membuktikan bahawa semenjak tahun 1955, kaedah-kaedah untuk meraih pengundi ini adalah yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari kesemua parti politik, dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi dan isu berbangkit berhubung keperluan permit polis bagi tujuan berkempen melibatkan enam calon pada PRK Tanjung Piai.
Katanya, tanggungjawab mengundi merupakan hak asasi yang jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Semenjak tahun 1955, 14 Pilihan Raya Umum (PRU), selain ratusan pilihan raya kecil telah diadakan bagi membolehkan para pengundi memilih ahli parlimen dan wakil rakyat mereka.
“Aktiviti berkempen bagi tujuan pilihanraya ini adalah penting di dalam sistem demokrasi berparlimen,” ujarnya lagi.
#Peguam Negara #pilihan raya #pilihan raya kecil #polis #PRK Tanjung Piai #PRU #Tanjung Piai Memilih
;