Kepelbagaian budaya salah satu agenda utama PBM - Zuraida
Sinar Harian
Jun 15, 2022 13:49 MYT
Jun 15, 2022 13:49 MYT
SHAH ALAM: Kepelbagaian budaya merupakan salah satu agenda utama Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata bakal Presidennya (President-designate) Datuk Zuraida Kamaruddin.
Menurutnya, ia adalah antara enam teras parti yang juga merangkumi pemerkasaan wanita dan belia, pembangunan ekonomi, pendidikan, kemajuan sains dan teknologi.
"PBM menggesa rakyat berkata 'tidak' kepada sebarang bentuk perkauman dan mengetepikan semua perbezaan untuk berganding bahu demi kebaikan semua dan generasi akan datang.
"Masa depan bermula dengan kita hari ini.
"Kita semua adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia, perlu mengukuhkan lagi asas berbilang budaya, kaum serta kekal teguh dan bersatu untuk menghadapi semua cabaran akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahli Parlimen Ampang itu menegaskan, Malaysia tidak mempunyai tempat untuk ketaksuban dan pemimpin-pemimpin terdahulu telah meletakkan asas yang kukuh untuk memastikan negara majmuk ini terus berkembang maju dalam kepelbagaian.
"Kita tidak seharusnya membiarkan elemen perkauman dan pelampau meruntuhkan struktur negara ini," ujarnya.
Zuraida berkata, PBM turut mengalu-alukan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini supaya mengamalkan konsep 'tasamuh' atau toleransi selagi ia tidak melanggar prinsip Islam.
"Ini selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjadi ciri pentadbiran beliau.
"Toleransi dan persefahaman kaum adalah penting untuk kemakmuran masa depan negara kita yang tercinta," katanya.
* Artikel asal di Sinar Harian