Kenyataan YDP Agong, Majlis Raja-Raja kemuncak suara rakyat - Anwar Ibrahim
Hasimi Muhamad
Jun 20, 2021 12:27 MYT
Jun 20, 2021 12:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kenyataan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja baru-baru ini berhubung keadaan semasa dalam negara disifatkan kemuncak kepada suara rakyat.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu jarang berlaku dalam sejarah politik negara sehinggakan suara-suara rakyat terpaksa disampaikan oleh Institusi Diraja.
Dakwa Anwar, keadaan ini berlaku kerana keresahan rakyat terhadap suasana politik dan ekonomi yang disifatkan semakin berkecamuk.
"Maka maknanya kita sudah sampai ke kemuncaknya... Ini kerana di antara lain terkait dengan masalah COVID-19.
"Kita sebut umpamanya dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown, segala langkah-langkah itu ada kemunasabahannya.
"Tetapi kita mesti mula dengan vaksin, kegagalan paling besar kerajaan adalah penyediaan vaksin yang mencukupi," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden "Bangkit Bersama Rakyat" pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-15 secara maya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan sesi Persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah Al-Sultan Abdullah itu menyusul selepas siri pertemuan wakil-wakil politik dan Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berlangsung di Istana Negara.
Sementara itu, Raja-Raja Melayu pula sependapat bahawa tidak ada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.
#Anwar Ibrahim
#PKR
#Kongres Keadilan
#lockdown
#PKP 3 0
#Al-Sultan Abdullah
#Majlis Raja-Raja
#Covid-19 Malaysia
#berita hari ini
#berita Malaysia