Kenyataan sindiran, 'angkat bakul sendiri' rugikan PN, BN - DPIM

Ridauddin Daud
September 29, 2020 18:08 MYT
Shahir berkata, ketua sayap pemuda perlu mengambil sikap berhati-hati dan berhemah dalam menegeluarkan sebarang kenyataan.
KUALA LUMPUR : Pemimpin utama sayap pemuda gabungan Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Nasional (BN) perlu mengambil sikap berhati-hati dan berhemah dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata kenyataan berbentuk sindiran serta memuji diri sendiri adalah langkah politik yang merugikan PN dan BN.
Menurutnya, sayap pemuda perlu berpolitik secara matang dan menjadi contoh terbaik untuk rakyat dalam mencorakkan kepimpinan masa hadapan.
“Pemimpin anak muda perlu melihat secara keseluruhan terutama pengorbanan ahli parti di peringkat akar umbi yang berkorban masa, keringat dan wang ringgit untuk berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“DPIM menggesa sayap pemuda diperkasakan melalui perbincangan membina dan bukannya serangan secara terbuka hingga mengakibatkan keresahan di kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian dipercayai mengulas perselisihan melibatkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Kedua-dua pemimpin itu berbalas kenyataan dalam media sosial selepas Wan Ahmad Fayhsal mengeluarkan kenyataan berkaitan PRN Sabah yang antara lain menyatakan PN terbukti mempunyai kekuatan tersendiri biarpun dikatakan setahun jagung.
Selain itu, tanpa membandingkan PN dengan mana-mana parti lain secara jelas, beliau berkata gabungan itu tidak dibebani dengan isu legasi dan defisit kepercayaan kerana masih baharu dan segar.
Asyraf Wajdi kemudian membalas kenyataan itu dengan nada agak keras dan ada mengeluarkan beberapa ayat seperti: “Jangan melampau! Ahli-ahli UMNO juga ada maruah”.
Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan turut membalas kenyataan itu dan menyifatkan kata-kata dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal sebagai ‘angkuh dan sombong’.
#PPBM #Asyraf Wajdi Dusuki #UMNO #Pemuda UMNO #Puteri UMNO #BN #PN #Zahida Zarik #Puteri #pilihan raya #media sosial #Malaysia #Barisan Nasional #Perikatan Nasional #Wan Ahmad Fayhsal #ARMADA
;