Kenyataan Shahidan bersifat individu, bukan suara UMNO Perlis - Azlan Man

Adie Sufian Zulkefli
April 1, 2021 17:47 MYT
Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, perbezaan itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan UMNO Perlis. - Gambar fail/BERNAMA
KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyifatkan perbezaan pandangan yang wujud dalam kalangan pemimpin UMNO di negeri itu berhubung kerjasama parti berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah pendirian individu.
Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, perbezaan itu tidak mencerminkan pendirian keseluruhan UMNO Perlis.
"Sebagai ahli parti, kita harus menghormati keputusan yang di buat oleh parti di peringkat tertinggi... apatah lagi itu telah di absahkan," katanya selepas majlis pelancaran Sambutan Hari RTM ke-75 di Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis, pada Khamis.
Pada Ahad lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim secara terbuka menyatakan pendirian akan terus bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, berbeza dengan UMNO Kangar yang menyokong penuh keputusan pucuk pimpinan parti.
BACA: UMNO Perlis ambil pendekatan tidak bermusuh dengan Bersatu - Shahidan Kassim
Sementara itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan dilantik menggantikan Shahidan sebagai Pengerusi UMNO Perlis, Azlan berkata itu adalah keputusan kepimpinan parti.
"Itu saya tidak tahu itu bukan keputusan saya dan itu adalah pertimbangan pihak yang berkuasa. Di dalam hal ini, adalah merupakan (keputusan) kepimpinan di dalam parti," katanya lagi.
#Shahidan Kassim #umno perlis #Azlan Man #Menteri Besar Perlis #Bersatu #PRU15 #Ketua UMNO Bahagian Kangar #pendirian individu
;