Kenyataan saya ialah pendirian UMNO Perlis, bukan peribadi - Shahidan
Adie Sufian Zulkefli
April 3, 2021 16:06 MYT
April 3, 2021 16:06 MYT
ARAU: Keputusan untuk terus bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perlis adalah pendirian Badan Perhubungan UMNO Perlis.
Demikian jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menegaskan keputusan itu bukan bersifat peribadi seperti didakwa Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man.
Jelas Shahidan, selain Arau dan Padang Besar, pendirian UMNO Bahagian Kangar juga adalah sama malah turut mengemukakan cadangan tambahan agar seseorang pemimpin itu mesti berintergriti selain tidak ada kes mahkamah.
"Ini bukan (pendirian) peribadi... ini adalah pendirian UMNO Perlis. Tidak boleh ditukar-tukar.
"(UMNO Bahagian) Arau dan Padang Besar solid (kukuh) pendirian, Kangar pun berpendirian sama. Malah, Kangar keluarkan cadangan pemimpin mestilah orang yang berintegriti, tiada kes mahkamah," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Khidmat Kubang Gajah dekat Arau, pada Sabtu.
Jelas Ahli Parlimen Arau itu, pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu adalah untuk pilihan raya umum akan datang dan bukan sekarang.
Sebelum ini, Azlan ketika diminta mengulas mengenai keputusan UMNO Bahagian Kangar menyokong menolak kerjasama dengan Bersatu yang dilihat tidak selari dengan pendirian Shahidan baru-baru ini dilaporkan berkata, perkara itu adalah pendirian peribadi Shahidan.
Kata Azlan, sebagai ahli parti, beliau menghormati keputusan dibuat di peringkat tertinggi parti iaitu menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut Azlan, pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu adalah keputusan konsensus Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan diabsahkan di dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.