Kenyataan Sanusi mampu cetus kebimbangan rakyat - Hamzah
Hilmi Malik
Mei 31, 2023 00:29 MYT
Mei 31, 2023 00:29 MYT
KUALA LUMPUR : Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan sekiranya kenyatan Pulau Pinang milik Kedah terus dipergunakan sehingga menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu dilihat mampu mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Beliau turut berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah bagi memastikan tidak berlakunya isu perpecahan melibatkan gabungan di dalam PN.
“Kalau kita bangkitkan isu ini, waktu ini, ia boleh menyebabkan ada perasaan tidak senang. Jadi, fakta yang sebenarnya, memang betul Pulau Pinang itu milik Kedah, dahulunya.
“Tapi, buat masa ini, yang pentingnya adalah kita bangunkan negara kita ini... biarlah kita tahu bahawa kita bersama untuk menentukan masa depan kita yang lebih baik.
“Kita tidak mahu ada perpecahan di mana-mana peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad Universiti Malaya (UM) kali ke 14 di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini yang menyatakan Pulau Pinang milik Kedah.
Dalam pada itu, Hamzah turut menyentuh mengenai pembahagian kerusi PN menjelang PRN akan datang.
Jelasnya, soal agihan kerusi telah berada di fasa akhir membabitkan enam negeri yang akan berdepan PRN.
“90 peratus telah pun kita selesaikan. Ada satu dua lagi kerusi (DUN) yang kita rasa contohnya di Selangor dan Kedah ada satu dua lagi kerusi yang kita nak muktamadkan.
“Ada juga di Negeri Sembilan, tidak banyak kerusi lagi,” katanya lagi.