Kenyataan pembangkang tanda kepincangan kepimpinan - Zambry

Nazialita Geynna Maharan
Mei 2, 2017 08:45 MYT
Beliau memberi komen berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berhasrat untuk menjadikan negeri Perak sebagai anak angkat dalam memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kenyataan pihak pembangkang yang meluahkan hasrat untuk mengambil Perak sebagai anak angkat hanya menampakkan kepincangan serta krisis dalam kepimpinan mereka selama ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata beliau sedikitpun tidak terkesan malah tidak memandang serius mengenai kenyataan daripada pemimpin pembangkang tersebut.
“Saya lebih suka memberi tumpuan kepada negeri Perak dan terus bekerja kepada rakyat, biarlah mereka susun apa sahaja perancangan mereka nak ambil Perak, sedangkan masalah dalaman mereka pun masih berperang sesama sendiri.
“Saya percaya mereka mengalami masalah serius sesama mereka dalam parti. Eloklah kalau Azmin tengok-tengokkan negeri dia, belum tentu dia menang dalam PRU akan datang.
“Tapi kalau dia rasa dia kuat nak pecah-pecahkan, bahagikan masa dari segi taktikal, dia sangat dialu-alukan, bagus juga dia tak boleh tumpu Selangor, kita ambil,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Lot Kediaman Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Bemban Rakyat Kepada Setinggan Buntong di Dewan Serbaguna, SUK pada pagi Selasa.
Beliau memberi komen berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang berhasrat untuk menjadikan negeri Perak sebagai anak angkat dalam memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Jelasnya, pihaknya sudah lali dengan kenyataan serta ugutan pihak Pakatan Keadilan Rakyat yang sememangnya diketahui kini seperti berpecah-belah dan tidak bersatu.
“Dari dulu lagi, dia berebut nak Perak tetapi keadaan keputusan sebaliknya, biarlah dia bercakap, saya tak nak bercakap besar seperti mereka.
“Masalah pembangkang, dia fikir kita hidup dalam negara yang berpandukan undi popular namun sebenarnya Westminster, iaitu ditentukan dari segi jumlah kerusi dimenangi. Biarlah dia dibuai dengan kenangan dia yang tak tercapai,”ujarnya lagi.
Sementara itu, Dr Zambry menjelaskan bahawa pihaknya akan menghantar beberapa ribu ahli UMNO untuk menyambut Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71 pada 11 Mei depan.
“Kita komited kerana Majlis Tertinggi telah menetapkan perkara berkenaan, dan kita juga akan mengadakan pelbagai program khususnya di peringkat Bahagian, selain menghantar wakil negeri untuk berkumpul di Bukit Jalil,” katanya lagi.
#Azmin Ali #Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir #pembangkang #Perak #pilihan raya umum #PRU #undi rakyat