'Kenyataan media' Abdul Hadi akan dilantik sebagai Perdana Menteri palsu - Takiyuddin

Astro Awani
Mei 4, 2023 18:50 MYT
Dalam satu kenyataan, Takiyuddin menjelaskan kenyataan media yang tular itu tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang disebutkan. - Gambar/ Astro AWANI.
KUALA LUMPUR: Kenyataan media yang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-11 adalah palsu, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Dalam satu kenyataan, Takiyuddin menjelaskan kenyataan media yang tular itu tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang disebutkan.
"Kenyataan Media bertajuk ‘Sokongan Terhadap YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Ahli Parlimen Marang Sebagai Perdana Menteri Malaysia’ yang sedang tular pada masa ini adalah palsu dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang disebutkan," katanya.
Kenyataan media yang tular itu menyebut Abdul Hadi telah mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.
Selain itu, kenyataan itu juga menyatakan Abdul Hadi telah diperkenankan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 5 Mei bagi mempersembahkan surat akuan bersumpah daripada 115 Ahli Parlimen.
Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini berada di London.
Lawatan Khas Seri Paduka berdua ke London adalah atas jemputan Raja Charles III bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Baginda sebagai Pemerintah United Kingdom (UK) di Westminster Abbey pada Sabtu ini.
#Abdul Hadi Awang #Perdana Menteri #surat tular #Yang di-Pertuan Agong
;