Kenyataan biadab: Armada Bersatu beri tempoh seminggu kepada Ronnie Liu atau...

Astro Awani
Oktober 23, 2019 13:43 MYT
Kata Syed Saddiq lagi, Armada Bersatu seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadap ini. - Gambar fail/Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu memberi tempoh satu minggu untuk Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu tampil memohon maaf atau pimpinan DAP mendisiplinkan beliau, sebelum Armada mengambil tindakan balas.
Amaran dikeluarkan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selepas Ronnie dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH) akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa parti Bersatu.
Kata Syed Saddiq lagi, Armada Bersatu seluruh negara tidak akan teragak-agak untuk bertindak atas serangan biadab ini.
“Jika pimpinan DAP tidak lakukan apa-apa, Armada akan bebas menyerang pimpinan DAP, termasuk pimpinan tertingginya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain meremehkan parti itu, Ronnie juga mendakwa Pengerusi Bersatu, yang juga perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.
BACA: 'Tindakan Ronnie Liu biadab' - Maszlee gesa pimpinan DAP disiplinkan ahli
BACA: KPM tidak benarkan edaran komik berdasarkan undang-undang - Maszlee
Selain Syed Saddiq, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik juga menyifatkan tindakan Ronnie hanya akan membawa lebih banyak perpecahan dan membantutkan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan Pakatan Harapan
Kata Maszlee, tindakan Ronnie Liu merendah-rendahkan parti komponen lain disifatkan sebagai biadap dan sangat tidak berasas.
#ARMADA #Biadap #DAP #komik #Mahathir Mohamad #Maszlee Malik #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Ronnie Lui #Syed Saddiq #undang-undang
;