Kenyataan 'balik Tongsan' cetus kekecohan di Parlimen

Harits Asyraf Hasnan, Hafiz Marzukhi
November 4, 2015 17:40 MYT
Abdul Azeez berkata demikian selepas pertanyaan untuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diganggu Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong. - Gambar Fail
Sesi Parlimen Rabu kecoh apabila satu kenyataan 'balik Tongsan' diucapkan oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez berkata demikian selepas pertanyaan untuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diganggu Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata dia tidak dapat menolak perkataan itu sebagai tidak sesuai diucapkan tanpa memahami konteks penggunaan frasa.
"Jika anda mahu saya menolak perkataan ini dalam Parlimen, maka pada masa akan datang saya akan memperketatkan tatacara apabila mengendalikan ahli parlimen yang menggunakan kata-kata seperti ‘binatang’ untuk menggambarkan ahli Parlimen yang lain.
"Kenapa perlu menyakiti hati satu sama lain?" tanya Pandikar Amin.
Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata frasa tersebut dianggap sebagai menghina dan merupakan satu isu sensitif terutamanya di kalangan masyarakat Cina.
"Tan Sri (Pandikar Amin), saya meminta anda mengarahkan Ahli Parlimen Baling (Azeez) menarik balik perkataan ini. Ia perkataan yang sensitif, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina," kata Loke.
Pandikar Amin kemudiannya mengarahkan kenyataan itu ditarik balik lalu Abdul Azeez menurut.
#Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim #Sidang Parlimen #Tan Sri Pandikar Amin Mulia
;