Kenyataan Anwar letak jawatan Ketua Pembangkang adalah palsu
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 17, 2020 22:52 MYT
Disember 17, 2020 22:52 MYT
KUALA LUMPUR: Tular di media sosial kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya melepaskan jawatan tersebut susulan kegagalan menolak Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Namun, perkara itu disahkan palsu oleh Pengarah Komunikasi Strategik PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada Khamis malam.
Kenyataan palsu itu turut mendakwa Anwar menggesa agar anggota parti dan rakyat Malaysia menghormati keputusan tersebut.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan berlangsung petang tadi di Parlimen dibatalkan pada saat akhir.
Mesyuarat itu sepatutnya diadakan selepas pembangkang gagal menyekat Belanjawan 2021 pada bacaan kali ketiga di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pada masa sama, dua pemimpin utama PH mencadangkan agar gabungan itu membuat satu anjakan politik untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan bersama menegaskan, sudah tiba masanya untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.
Sementara Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Xavier Jayakumar memaklumkan tiada masalah dalam PH.
#Anwar Ibrahim
#Lim Guan Eng
#Mohamad Sabu
#PKR
#DAP
#Pakatan Harapan
#Parti Keadilan Rakyat
#Parti Amanah Negara
#Dewan Rakyat
#letak jawatan
#Ketua Pembangkang