Kenyataan Ahmad Maslan sememangnya 'lawak antarabangsa' - Muhyiddin
Astro Awani
Ogos 2, 2015 16:17 MYT
Ogos 2, 2015 16:17 MYT
Kenyataan 'esok tidak lagi PRU' oleh Datuk Ahmad Maslan sememangnya 'lawak antarabangsa' kerana ia tidak masuk akal, kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau turut menyifatkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu sebagai seorang yang angkuh.
"Ada seorang yang angkuh ni yang memegang jawatan di dalam parti dan kerajaan yang kata esok bukan pilihan raya.
"Ia seperti bila seorang ibu tanya anaknya apa dia hendak jadi bila dia besar dan anaknya jawab 'esok saya masih budak, mak'," ucap Muhyiddin pada persidangan UMNO Bahagian Kluang di Kompleks Pekan Rabu, pada Ahad.
Katanya beliau menyedari pilihan raya umum (PRU) sememangnya bukan esok, tetapi apa yang dikatanya merupakan perumpamaan bahawa UMNO mungkin akan kalah jika PRU diadakan kerana ada beberapa isu yang tidak ditangani.
"Ini boleh jadi lawak antarabangsa. Saya pernah beberapa kali jadi pengarah pilihan raya UMNO... apa yang saya katakan adalah untuk mengingatkan.
"Kenyataan saya bukanlah untuk merosakkan reputasi parti," tegas Muhyiddin lagi sambil mengingatkan UMNO akan menghadapi waktu kesukaran sekiranya tidak bangkit sekarang.
Isnin lalu, Muhyiddin dalam satu kenyataan telah berkata sekiranya PRU diadakan esok, Barisan Nasional (BN) akan kalah.
Beliau juga menyatakan kebimbangan itu berdasarkan maklum balas masyarakat di peringkat akar umbi.
Menjawab kenyataan itu, Ahmad Maslan berkata tidak perlu menjawab sama ada BN boleh menang PRU atau tidak jika ia diadakan esok, kerana menurutnya PRU hanya mungkin akan diadakan pada 2018.
Katanya, 'esok' hanyalah merupakan persiapan untuk menghadapi PRU ke-14, dan bukannya PRU itu sendiri.
Sehubungan itu, laman Twitter sebelum ini dibanjiri dengan reaksi netizen yang kurang senang dengan kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai acuh tidak acuh.
Menerusi hashtag #TweetGayaAhmadMaslan, pengguna Twitter memuat naik pelbagai Tweet yang dilihat memperolok pernyataan Ahmad itu.