Kenyataan Ahmad Maslan beri isyarat UMNO buka ruang perbincangan dengan Bersatu - Dr Afif

Astro Awani
Mac 11, 2021 21:05 MYT
Dr Afif berkata, perbincangan perlu dibuat seluas-luasnya baik di peringkat pusat atau akar umbi.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Rabu menggambarkan parti itu masih membuka ruang perbincangan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.
Beliau berkata, perbincangan perlu dibuat seluas-luasnya baik di peringkat pusat atau akar umbi.
"Kenyataan itu telah sedikit sebanyak menggambarkan ruang perbincangan itu harus dibuka dan kalau boleh harapan saya sebagai seorang ahli parti politik muda, dalam Perikatan Nasional (PN) ini, kita mahukan perbincangan itu dibuat seluas mungkin di pelbagai peringkat baik di pusat atau akar umbi.
"(Ini) supaya kita dapat memahami dan menyampaikan maklumat yang tepat tentang aspirasi dan kehendak rakyat kerana kita ada cabaran yang cukup besar dan kita ada krisis kesihatan dan ekonomi selain program vaksin yang memerlukan sokongan.
"Inilah peluang kita bekerjasama dan meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan dalam mendepani gerak kerja pada masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
BACA: PRU15: Tiada pertembungan UMNO-Pas, dengan Bersatu pula dirungkai kemudian - Ahmad Maslan
Tambahnya, perbincangan mengenai kerjasama semasa pilihan raya umum (PRU) akan datang perlu berteraskan kepada fakta, sentimen dan faktor siapa yang boleh menang kerusi yang bakal ditandingi.
"Formula ini harus kita jadikan sebagai asas kepada perbincangan di peringkat PN dan BN. Saya rasa formula ini kita harus dijadikan asas kepada perbincangan di kalangan parti kerana kita sudah tengok usaha ini melalui perbincangan di PRN Sabah dan ia berjaya.
"PN berbincang dengan BN untuk tubuh Gabungan Rakyat Sabah untuk berdepan lawan dan akhirnya kepimpinan PM (Perdana Menteri) dan parti lain berjaya memimpin Sabah sekarang," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau yakin kepimpinan PN dan BN akan memikirkan formula terbaik bagi memastikan pentadbiran PN akan dikekalkan pada PRU akan datang.
#Ahmad Maslan #UMNO #Bersatu #ruang perbincangan #akar umbi #PRU15 #kerjasama #Dr Afif Bahardin #ADUN
;