Kenderaan Peguam Negara, menteri dilihat memasuki kediaman PM
Ridauddin Daud
Ogos 3, 2021 21:23 MYT
Ogos 3, 2021 21:23 MYT
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin parti politik dalam kerajaan termasuk menteri dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, pada Selasa malam.
Kenderaan membawa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilihat paling awal tiba dan memasuki kawasan kediaman Muhyiddin kira-kira jam 8.20 malam.
Kira-kira 15 minit kemudiannya, kenderaan membawa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Ahmad Faizal Azumu dilihat memasuki kediaman tersebut disusuli Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee.
Difahamkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sudah tiba ke kediaman Perdana Menteri.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tiba kira-kira jam 8.50 malam diikuti Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang tiba lima minit kemudian.
Beberapa kenderaan dipercayai membawa ahli politik lain turut dilihat memasuki kediaman Perdana Menteri namun tidak dapat dipastikan siapakah gerangan mereka.
Difahamkan Perdana Menteri masuk ke kediamannya pada jam 5.40 petang tadi selepas keluar ke pejabatnya kira-kira jam 10 pagi tadi.
Sejak dari itu, kenderaan membawa beliau dilihat tidak keluar dan kenderaan lain dipercayai membawa ahli politik pula silih berganti masuk ke kediaman berkenaan.
Astro AWANI akan terus berada di lokasi bagi membawakan perkembangan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.
Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.
Kenyataan itu hadir tidak lama selepas Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keputusan dan pendirian UMNO.
#rumah PM
#kenderaan
#Peguam Negara
#menteri
#Idrus Harun
#Ahmad Faizal Azumu
#A Vigneswaran
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#UMNO
#Zahid Hamidi