Kenapa UMNO susah hendak guna bahasa Melayu? - Rais Yatim
Wan Syamsul Amly
Februari 26, 2018 11:47 MYT
Februari 26, 2018 11:47 MYT
UMNO diminta menjaga kedaulatan bahasa Melayu dan tidak memperkotak-katikkan penggunaannya dalam urusan harian parti.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Rais Yatim berkata, situasi itu dianggap mudah dipraktikkan selain menyifatkan tiada kesukaran untuk bertutur bahasa Melayu dengan betul.
Dalam catatan terbaharu di laman Facebook miliknya, Rais memberitahu penggunaan perkataan winnable candidate seharusnya membawa maksud 'calon yang boleh menang' dan war room adalah 'bilik tindakan'.
Sebelum ini Rais dilaporkan berkata, penggunaan bahasa Inggeris oleh UMNO melambangkan parti itu seolah-olah menyertai kumpulan yang mahu 'membunuh' bahasa Melayu dalam aktiviti seharian.
Ketika dihubungi, Rais menegaskan tidak susah untuk UMNO berbahasa Melayu dengan betul, sambil menasihati pemimpin parti itu supaya memelihara bahasa sepertimana mereka menjaga kuasa yang dipegang ketika ini.
"Tidak apalah orang yang pegang kuasa kerap lupa sebab terlalu aksi. Kuasa macam duit juga.
"Tidak pandai jaga, ia mudah hilang. Bila hilang amat sukar hendak dapat kembali," katanya.
Rais sebelum ini berpendapat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak diyakini boleh mengatasi sepenuhnya isu kekasaran bahasa mahupun isu berita palsu di platform media sosial.
Tegasnya, ia hanya boleh diselesaikan dengan strategi pembudayaan semula selain penyusunan semula hal kemanusiaan oleh rakyat bersama kerajaan.