'Kenapa rebut jawatan Pengerusi PKR Sarawak pada mulanya?'
Astro Awani
Disember 22, 2020 17:52 MYT
Disember 22, 2020 17:52 MYT
KUCHING: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng disifatkan tidak mempunyai pendirian teguh dalam parti apabila bertindak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak.
Ketika mengulas ringkas, bekas pemimpin PKR negeri yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin turut mempertikaikan tindakan Larry pada awal merebut jawatan itu (pengerusi).
"Saya sebenarnya ingin menolak dari menjawab soal politik tapi jika dia (Larry) beranggapan (pemimpin) Dayak lebih relevan memimpin kenapa dia merebut untuk menjadi pengerusi (PKR Sarawak)," katanya ketika ditemui pemberita di Kuching pada Selasa.
Pada Isnin, Larry meminta pimpinan parti di peringkat pusat memilih calon baharu dalam kalangan pemimpin Dayak bagi mengetuai jentera parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12.
Larry menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau membuat pertimbangan mendalam.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Idris Buang berkata, tindakan itu disifatkan terlambat dan hanya akan mengeruhkan keadaan menjelang PRN yang dijangka diadakan kurang lapan bulan dari sekarang.