Kenapa Maria Chin tidak boleh 'disentuh'? - Syed Ali

Astro Awani
November 24, 2016 20:00 MYT
Penahanan Maria Chin Abdullah di bawah SOSMA perlu dilihat secara rasional dan tidak dibayangi oleh kepentingan politik pihak tertentu. - Gambar fail
Penahanan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah di bawah Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) perlu dilihat secara rasional dan tidak dibayangi oleh kepentingan politik pihak tertentu.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, polis mempunyai asas yang kukuh untuk menahan Maria dan pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional selain berasaskan kepada soal kepentingan negara.
"Mengapa isu penahanan Maria diperbesarkan, dipolitikkan secara sewenang-wenangnya yang seolah-olah memberi gambaran kerajaan zalim manakala polis pula didakwa sebagai mengikut telunjuk parti pemerintah.
"Persepsi negatif dan tuduhan sedemikian tentulah tidak adil hanya disebabkan seorang yang bernama Maria yang ditahan, seolah-olah seluruh sistem perundangan dan keadilan negara ini telah runtuh. Ini tanggapan liar dan berniat jahat," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Syed Ali seterusnya mempersoalkan, apakah Maria tidak boleh 'disentuh' sehingga mendorong kumpulan pro-pembangkang sanggup mengadakan perhimpunan solidariti dan berterusan menyalakan lilin tanda menyokong perjuangan penggerak Bersih.
"Kumpulan ini dilihat seperti cuba menutup kesilapan atau perbuatan Maria, sebaliknya menonjolkan imej wanita itu sebagai wirawati dan tidak pernah bersalah walaupun terbabit dalam beberapa siri perhimpunan haram untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak sah.
"Dia (Maria) bukannya hero, bukan wirawati yang perlu seluruh orang menjadi kelam-kabut.
"Kalau dia berani buat, beranilah tanggung akibatnya. Malaysia ada undang-undang dan tidak perlu kepada tekanan atau campur tangan asing," jelasnya.
Tambah Syed Ali, Maria tidak mempunyai kekebalan dari segi undang-undang dan bila-bila masa boleh ditahan atau didakwa jika sabit kesalahan di atas perlakuannya.
"Sehubungan itu, kumpulan pendesak dan pro-pembangkang sewajarnya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan tugasan mereka secara profesional berlandaskan undang-undang sedia ada," tegasnya.
Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut menyelar pihak berkepentingan yang begitu mudah melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan jika tangkapan atau penahanan seseorang itu membabitkan pihak pembangkang.
"Polis akan melakukan sesuatu tangkapan atau penahanan terhadap seseorang jika mempunyai asas yang kukuh bagi mewajarkan penahanan tersebut terutama yang membabitkan isu keselamatan negara.
"Bagaimanapun, seseorang yang ditahan di bawah SOSMA masih mempunyai ruang untuk mencabar penahanan tersebut dengan memfaikan permohonan habeas corpus," ujarnya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini dilaporkan akan mendengar permohonan habeas corpus Maria untuk mencabar penahanannya di bawah Akta Kesalahan Khas (Langkah-Langkah Keselamatan) 2012, pada Selasa depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nodin Hassan menetapkan tarikh itu selepas tidak membenarkan permintaan Supt. Tham Lai Kyuan, Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan supaya diberi tempoh tujuh hari untuk membalas afidavit yang difailkan oleh anak lelaki Maria, Azumin Mohamad Yunus.
Maria di tahan di bawah SOSMA Jumaat lalu, sehari sebelum Perhimpunan Bersih 5 dan juga mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Ini berikutan pendedahan bahawa gabungan reformasi pilihan raya itu dikatakan menerima dana daripada Open Sosiety Foundations, yang dikaitkan dengan jutawan George Soros.
Menurut Syed Ali lagi, isu penahanan Maria sengaja dipolitikkan oleh pihak berkepentingan untuk menanam bibit-bibit kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama membabitkan pemimpin UMNO.
"Kita kesal kerana isu tersebut telah digembar-gemburkan termasuk nenerusi laman-laman sosial yang sengaja memberi gambaran seolah-olah Maria tidak bersalah dan tidak sepatutnya dikenakakan tahanan oleh pihak polis.
"Rakyat diminta jangan mudah terpengaruh dengan berita-berita yang sengaja disensasikan oleh pihak pembangkang dalam usaha menarik simpati dan sokongan," katanya.
Syed Ali turut membidas tindakan segelintir pihak yang berhimpun tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi mengadakan upacara 'menyalakan lilin' berhampiran Dataran Merdeka sebagai tanda solidariti terhadap Maria.
"Ini yang peliknya, ada juga segelintir orang Melayu yang sanggup hadir dan membabitkan diri dalam majlis seumpama itu, ini budaya bangsa apa sebenarnya (nyalakan lilin),?" soalnya.
#Bersih 5 #Maria Chin #SOSMA #Syed Ali #UMNO Cheras
;