'Kenapa Mahathir cakap makin berbelit-belit?' - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Mac 22, 2023 23:14 MYT
Mohamed Nazri menegaskan Dr Mahathir sebenarnya individu yang sedang berusaha untuk melemahkan orang Melayu. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Akta Hasutan diwujudkan bagi mengambil tindakan terhadap mereka yang menghasut untuk membenci kerajaan dan menimbulkan huru-hara, bukannya pihak yang mempertahan kerajaan, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut Mohamed Nazri, gesaan yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pemimpin kerajaan sepatutnya ditangkap kerana menghasut amat tidak masuk akal.
Beliau menjelaskan tidak mungkin pemimpin kerajaan yang berusaha dengan berbagai cara untuk membantu rakyat dianggap sedang mempromosikan kemiskinan.
Katanya, adalah suatu yang mustahil pemimpin kerajaan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan yang dianggotainya.
"Saya pelik dengan kenyataan Mahathir ini, dia faham ke tak faham Akta Hasutan? Kalau faham, dia tidak keluarkan kenyataan macam itu.
"Sebagai seorang yang mentadbir negara begitu lama, yang merasakan hanya dia sahaja yang tahu mentadbir negara, Mahathir sepatutnya faham bahawa Akta Hasutan dikenakan kepada orang yang menghasut atau berusaha menimbulkan suasana yang tidak tenteram.
"Kerajaan ini belum sampai setahun, macam mana dia boleh kata gagal mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi orang Melayu?
"Apa masalah Mahathir ini sampai cakap berbelit-belit?" katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menegaskan, Dr Mahathir sebenarnya individu yang sedang berusaha untuk melemahkan orang Melayu.
Hujah beliau, Dr Mahathir tidak senang dengan dasar mana-mana perdana menteri selepas beliau yang lebih berpihak kepada rakyat termasuk orang Melayu.
"Untuk Mahathir, orang Melayu itu dianggap berjaya jika satu dua orang kroni dia mendapat banyak projek dan menjadi lebih kaya raya.
"Itulah sebenarnya yang dia mahu, asal kroni dia kaya raya, itu dianggap berjaya menyelesaikan masalah orang Melayu.
"Sudah-sudahlah menghasut rakyat membenci kerajaan. Sudah kalah teruk di Langkawi sampai hilang deposit pun masih nak bising.
"Di Ramadan ini, saya doakan agar Mahathir lebih tenang, tidak lagi menghasut rakyat untuk membenci kerajaan," katanya lagi.
Pada Rabu, Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali berkata pemimpin kerajaanlah yang sepatutnya ditangkap kerana menghasut.
Kenyataan itu dilihat reaksi Dr Mahathir terhadap gesaan Mohamed Nazri sebelum ini agar kerajaan mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri itu mengikut Akta Hasutan.
#Mohamed Nazri Abdul Aziz #UMNO #akta hasutan #Mahathir Mohamad
;