Kenapa bijak pandai UMNO guna 'Back to school'? - Rais Yatim

Wan Syamsul Amly
Disember 26, 2017 13:00 MYT
RAIS: "Jangan biarkan ungkapan 'Back to school' anjuran bijak pandai UMNO berterusan." - Gambar fail
UMNO disaran menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris di dalam setiap program yang dianjurkannya termasuk pemberian bantuan pelajar kembali ke sekolah.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penggunaan bahasa Inggeris melambangkan parti itu seolah-olah menyertai kumpulan yang mahu 'membunuh' bahasa Melayu dalam aktiviti seharian.
"Jangan biarkan ungkapan 'Back to school' anjuran bijak pandai UMNO berterusan. Malu kita.
"Betulkan cepat kepada 'Kembali ke sekolah. Jangan sertai gerombolan bunuh bahasa Melayu," katanya dalam catatan terbaharu di laman Twitternya.
Catatan terbaharu di laman Twitter Rais mahu bijak pandai UMNO menggunakan bahasa Melayu di dalam nama program mereka. - Sumber gambar Twitter @DrRaisYatim
Beberapa program bantuan kelengkapan sekolah yang dianjur pemimpin UMNO menggunakan bahasa Inggeris dan kebanyakannya dinamakan 'Back to school' berbanding bahasa Melayu 'Kembali ke sekolah'.
Ia termasuk program dianjurkan sayap parti iaitu Pemuda serta Puteri UMNO sendiri.
Sebelum ini Rais mahu negara-negara ASEAN khususnya Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei bangun memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik sekali gus meletakkannya di kedudukan yang sewajarnya.
Tegasnya, pejuang budaya khususnya bahasa Melayu dari negara tersebut perlu meningkatkan perjuangan ke arah memperluaskan penerimaanya.
Rais juga meminta bahasa Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu didaftarkan sebagai salah satu daripada institusi warisan negara.
Untuk itu, katanya, Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu diperkasakan semula memandangkan Seksyen 68 akta tersebut memberi kuasa bagi pendaftaran warisan-warisan.
Sebelum ini juga, Ketua Satu Gabungan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, perjuangan dalam memperkasakan bahasa Melayu memerlukan kerjasama semua pihak.
Tegasnya, ia bukan hanya bergantung dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persa­tuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) semata-mata.
#ASEAN #Bahasa Melayu #Indonesia #Puteri UMNO #Rais Yatim #UMNO
;