Kenapa Bersatu dijadikan "punching bag" UMNO? - Ronald Kiandee
Syafik Shukri Jalil
Mac 29, 2021 18:26 MYT
Mac 29, 2021 18:26 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan pilihan parti itu sendiri dan tiada apa yang boleh dilakukan Bersatu untuk membimbing keputusan itu.
Demikian ujar Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang turut menyifatkan keputusan itu sebagai hak UMNO untuk menentukan halatuju politik mereka menjelang PRU-15.
Menerusi kenyataan pada Isnin, Ronald bagaimanapun kecewa dengan tindakan UMNO yang seolah-olah melabelkan Bersatu sebagai musuh politik utama mereka.
“Musuh politik UMNO bukan Bersatu tetapi Pakatan Harapan (PH). Peliknya Bersatu dijadikan ‘punching bag’ UMNO dalam PAU 2020,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Kuala Lumpur yang menyatakan keputusan UMNO tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang adalah muktamad.
Mengambil contoh kepada situasi di Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September lalu, Ronald berkata kekuatan tradisi melalui kerusi-kerusi tradisi bukan faktor utama yang akan menentukan kemenangan sesuatu gabungan seterusnya diangkat sebagai kerajaan.
Namun rakyat lebih menjurus kepada gabungan yang mampu menjanjikan tawaran baharu kepada mereka.
“Toleransi politik yang berlaku dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hingga berjaya menumpaskan Parti WARISAN boleh dijadikan ikhtibar oleh semua.
“Rakyat kini bosan dengan politik dan mahukan kerajaan membantu mereka ketika pandemik COVID-19 ini,” tambahnya.
#Bersatu
#UMNO
#Perikatan Nasional
#Tan Sri Muhyiddin Yassin
#Ronald Kiandee
#Ahmad Zahid Hamidi
#PRU 15
#PRN Sabah