Kenal pasti calon pilihan raya lebih awal - Mohamad

Bernama
Julai 7, 2024 17:30 MYT
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau 2024 hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: UMNO Bahagian disarankan mengenal pasti calon berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal supaya mereka dapat menyesuaikan diri dan mula mendekati rakyat, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Sepatutnya dalam tempoh dua tahun ini, setiap bahagian mengenal pasti dua atau tiga individu berpotensi untuk dinamakan sebagai calon. Minta dia bekerja supaya dapat menyesuaikan diri serta menyantuni masyarakat setempat.
"Jadi tidaklah, dua minggu masa kempen, baharu nak terkial-kial memperkenalkan calon...kita mahu apabila sebut sahaja nama calon, orang dah kenal, itu sepatutnya dilakukan oleh Bahagian untuk kita dapat keharmonian," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rembau di sini hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan mencadangkan parti itu perlu mengenal pasti calon lebih awal bagi membolehkan mereka dikenali dan menyatuni penduduk setempat.
Mengulas kekalahan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Mohamad berkata semua pihak perlu mengkaji punca kekalahan lebih 4,000 majoriti berbanding 1,500 sebelum ini.
"Peratusan keluar mengundi sama ada tinggi atau juga faktor perlu dilihat, ia serampang dua mata. Selain itu pengundi dipengaruhi isu semasa, maka ini merupakan taktik pilihan raya. Kekalahan ini perlu dikaji, mengapa majoritinya melebar daripada 1,500 kepada 4,200," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berharap pada PRK Nenggiri 17 Ogos ini, UMNO bahagian Gua Musang dapat mengetengahkan calon diyakini bagi memberi kemenangan kepada parti.
"Terpulang kepada kepimpinan bahagian menamakan dua tiga individu, jangan hanya seorang sahaja supaya kita dapat membuat tapisan keselamatan lebih awal. Kita mahu calon tersebut tidak mempunyai masalah," katanya.
Sementara itu mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Mohamad berkata setiap keputusan perlu mendapat konsesus semua pihak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Barisan Nasional (BN).
-- BERNAMA
#calon pilihan raya umum #kenal pasti awal #Mohamad Hasan #UMNO
;