Kemunculan Tun M di konvensyen Amanah isyarat positif untuk Pakatan Harapan

Astro Awani
Disember 10, 2016 11:32 MYT
Kehadiran Tun Mahathir di konvensyen Amanah beri isyarat positif untuk Pakatan Harapan. - Gambar Shaik Amin
Selepas membuat kejutan hadir ke persidangan DAP minggu lepas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul pula di konvensyen pertama Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini.
Kehadiran Mahathir di konvensyen Amanah hari ini dan persidangan DAP baru-baru ini seolah-olah memberi isyarat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menyertai Pakatan Harapan menjelang pertemuan pemimpin gabungan parti pembangkang 13 Disember ini.
Sebelum ini Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan partinya akan membuat keputusan sama ada akan menyertai Pakatan Harapan atau tidak hanya akan diketahui selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang dijadual pada 13 Disember nanti.
BACA: Tun Mahathir buat kejutan, malah puji DAP
BACA: Keputusan PPBM sertai Pakatan Harapan diketahui 13 Disember depan - Muhyiddin
Selain Mahathir, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar juga hadir dan duduk di atas pentas bersama pemimpin-pemimpin utama Amanah.
Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Pengerusi Bersih 2,0 Maria Chin Abdullah, wakil dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim dan Hishamuddin Rais.
#Amanah #Mahathir Mohamad #Pakatan Rakyat #PPBM
;