Kemuka usul hadap Guan Eng ke Jawatankuasa Dewan Rakyat - Rizam

Astro Awani
Jun 2, 2020 08:00 MYT
RIZAM: Satu usul baharu perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat agar Lim Guan Eng dibawa dan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. -Gambar fail
Satu usul baharu perlu dikemukakan kepada Dewan Rakyat agar Lim Guan Eng dibawa dan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail berkata ia sekali gus dapat merungkai tuduhan Guan Eng yang mengaitkan Barisan Nasional (BN) dalam isu rompakan bayaran balik wang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2018.
“Baru-baru ini, Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen dalam laman Twitter miliknya telah mengesahkan perkara sebaliknya.
“Wong Chen yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) telah mengemukakan rumusan dapatan PAC dalam ciapannya yang jelas menyatakan tiada wang hasil GST dirompak seperti mana tuduhan Guan Eng,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan menjelaskan laporan PAC itu mendorong Ahli Parlimen BN membawakan usul agar Guan Eng dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat kerana telah berbohong di dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, usul itu telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat ketika itu.
Shahril menjelaskan, apa yang menjadi persoalan adalah kenapa pada waktu usul tersebut dibawa, Wong Chen serta ahli-ahli PAC dari Pakatan Harapan (PH) ketika itu tidak bersetuju dengan usul tersebut atau tidak membantah keputusan Speaker.
“PH sebelum ini sering melaungkan transparency dan kejujuran serta kononnya mahu mengangkat martabat Parlimen.
“Tetapi jelas sekali pada waktu tersebut, Wong Chen dan Ahli Parlimen PH telah mengetepikan prinsip dan terus membiarkan Lim Guan Eng berbohong di dalam Dewan Rakyat.
“Malah lebih teruk, mereka masih mempertahan dan menyokong pembohongan berterusan daripada Guan Eng walaupun laporan PAC telah menyatakan perkara sebaliknya,” jelas Shahril.
Dalam pada itu tegas Rizam, usul itu kelak akan memberi rakyat peluang menilai Wong Chen dan Ahli Parlimen PH memilih untuk mengembalikan kemuliaan Dewan atau membiarkan pembohongan itu kekal sebagai sejarah hasil pentadbiran 22 bulan PH itu sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari mulai 13 Julai depan, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lepas.
Jelasnya, sesi persidangan yang ditangguhkan selepas sesi pembukaan, akan berlangsung hingga 27 Ogos dengan mengambil kira keadaan semasa terutama wabak COVID-19.
#Barisan Nasional #Dewan Rakyat #GST #GST dirompak #Jawatankuasa Hak dan Kebebasan #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Lim Guan Eng #PAC #Parlimen #PKR #Rizam Ismail #UMNO #Wong Chen
;