Kempen untuk Anwar, pengkhianat parti - Khairy
Sinar Harian
September 17, 2018 18:23 MYT
September 17, 2018 18:23 MYT
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, mana-mana ahli parti UMNO berkempen untuk calon lawan pada PRK Port Dickson boleh disifatkan sebagai pengkhianat parti.
Katanya, perbuatan itu juga bertentangan dengan etika parti.
"Tataetika parti jelas. Kalau kempen untuk parti lawan, kena buang daripada UMNO.
"Itu bukan lagi meraikan perbezaan pendapat. Itu mengkhianati parti," katanya menerusi catatan di Twitternya.
Khairy berkata demikian membalas ciapan Norhafiz yang bertanyakan mengenai tindakan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bakal berkempen buat calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRK berkenaan.
Pertanyaan itu, berdasarkan kenyataan awal Khairy di Twitter yang mencadangkan agar UMNO/BN bertanding pada PRK Port Dickson
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahamad Zahid Hamidi berkata Mohamed Nazri tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin parti sekiranya berkempen untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Parlimen Port Dickson.
Zahid berkata pendirian itu diambil kerana beliau sering meraikan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli UMNO.
Nazri mengesahkan akan berkempen untuk Anwar dan mahu agar partinya tidak meletakkan calon menentang Anwar di Port Dickson tidak lama lagi.
Selain Nazri, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos juga bersedia 'menawarkan diri' berkempen bagi pihak Anwar, di kerusi Parlimen Port Dickson.
Jamal berkata, beliau sendiri akan memberikan sokongan terhadap Anwar dalam usaha mengangkat bekas timbalan perdana menteri itu sebagai perdana menteri kelapan.
Menurutnya, beliau menyokong Anwar menjadi perdana menteri adalah disebabkan kerana tidak yakin dengan kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed.