Kempen undi rosak tidak menguntungkan sesiapa - Sivarraajh

Astro Awani
Februari 3, 2018 12:25 MYT
SIVARRAAJH: Undi rosak tidak akan mengubah keputusan di peti undi. - Gambar fail
Kempen supaya pengundi merosakkan undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) (#undirosak) hanya perbuatan sia-sia dan tidak menguntungkan mana-mana parti dalam Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.
Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, pengundi seharusnya membuat pilihan pemimpin dalam sistem demokrasi melalui pembuangan undi dan keputusan merupakan hasil dapatan daripada undi yang adil serta saksama.
"Desakan pihak tertentu dalam kempen undi rosak sebagai tanda protes terhadap pembangkang dan BN terutama selepas gabungan pembangkang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri hanya bermotif politik selain bersifat politik peribadi.
"BN menolak penganjuran kempen undi rosak malah setiap rakyat negara ini yang berhak mengundi seperti dinafikan hak masing-masing jika sengaja merosakkan undi.
"Undi rosak tidak akan mengubah keputusan di peti undi. Keputusan dibuat pada undi yang sah dan undi rosak akan diketepikan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BACA: #MalaysiaMemilih: Kempen #UndiRosak beri kesan kepada Pakatan Harapan - Penganalisis
BACA: Pas tentang keras kempen undi rosak - Abdul Hadi
Beliau mengulas mengenai kempen #UndiRosak atau #SpoiltVote dan 'ProtesPRU' yang kini tular menerusi laman sosial.
Kempen itu mengajak golongan muda agar merosakkan undi pada pilihan raya umum akan datang dengan penggeraknya dilaporkan memberi alasan tiada beza sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.
Dalam pada itu tegas Sivarraajh, penganjur kempen undi rosak sengaja mencari publisiti dengan meluah rasa tidak puas hati pembangkang tetapi tidak menyokong kerajaan.
"Pengundi harus merujuk kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah yang turut menyelar usaha atau kempen pihak tertentu untuk menyeru pengundi membuat undi rosak semasa PRU-14 nanti.
"Semua pihak harus sedar, undi rosak adalah bertentangan dengan amalan demokrasi dan tidak membawa sebarang kebaikan kepada semua pihak," ujarnya.
Katanya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah membuat pelbagai pembaharuan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Menyokong kempen undi rosak hanya membantutkan segala usaha dan fokus BN dalam inisiatif serta penekanan terutama kepada golongan muda.
"Transformasi Nasional 2050 (TN50) sudah cukup melengkapi aspirasi serta memberi kepentingan dalam pandangan daripada golongan muda.
"Ia sekali gus sudah membuka peluang kepada orang muda untuk melakar masa depan negara mengikut citarasa dan aspirasi mereka," jelasnya.
#Abdul Hadi Awang #Barisan Nasional #Mahathir Mohamad #MIC #Najib Razak #Pakatan Harapan #PRU #TN50
;