Kempen PRU15: '22 bulan' jadi cabaran PKR - Penganalisis
Madiha Abdullah
Ogos 20, 2022 19:24 MYT
Ogos 20, 2022 19:24 MYT
KUALA LUMPUR: Cabaran utama dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh PKR yang bermula hari ini terletak pada bagaimana mereka harus meyakinkan rakyat berhubung isu-isu yang timbul atau belum selesai sepanjang 22 bulan pentadbiran bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, PKR pastinya meletakkan naratif yang menyentuh isu-isu integriti membabitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN), namun masih ada persoalan yang harus dirungkaikan terlebih dahulu.
"Sudah tentulah tiga yang digariskan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam konteks memulakan kempen adalah isu-isu yang menyentuh integriti, sama ketika PRU14 walaupun situasinya berbeza. UMNO sebagai sebuah parti yang terpalit dengan isu integriti dan bagaimana ia masih tidak selesai.
"PKR datang dengan penawaran bagi memastikan mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan mengangkat individu seperti itu sebagai pemimpin negara
"Tetapi saya melihat kepada tiga kelompok yang sering ditekankan iaitu pengundi tradisi mereka, yang di atas pagar dan orang muda, PKR sudah tentu berhadapan dengan satu bebanan iaitu 22 bulan itu, bagaimana mereka harus meyakinkan golongan yang pernah mengundi bahawa mereka adalah kerajaan 'in waiting'.
"Ini naratif mencabar kerana dalam tempoh 22 bulan itu banyak isu yang belum selesai," katanya ketika muncul dalam program Fokus Minggu Depan, pada Sabtu.
Mujibu juga melihat, untuk mendepani kempen PKR, BN dan UMNO harus mencipta satu naratif baharu supaya dapat lari daripada asakan parti lawan, namun ia bukan perkara mudah.
"Apabila kita bercakap sesuatu yang baharu, ini barangkali sukar dilakukan oleh BN untuk imbangi naratif PKR kerana rasuah dan salah guna kuasa sesuatu yang terlalu sinonim dengan parti BN.
"Sedangkan kalau kita perhatikan Datuk Seri Najib Razak sudah tidak lagi menjadi Presiden UMNO, malah dalam konteks BN ramai yang berkebolehan, yang baik, yang mampu bekerja boleh ditonjolkan tetapi sukar sekali dilakukan kerana bebanan daripada pemimpin-pemimpin yang besar, dan tokoh-tokoh utama mereka.
"Jadi, inilah yang kita mahu lihat, bagaimana mereka akan mengimbangi naratif PKR," ujarnya.
Tambahnya, walaupun isu yang melatari kempen PKR dijangka konsisten dengan menggunakan politik bersih, integriti dan good governance, selari dengan ideologi PKR namun konsistensi kempen diperlukan untuk membolehkan rakyat melihat pembinaan naratif mereka.
"Kempen bermula awal, jadi ada masa untuk mereka memperbaiki, menyusun jentera dan membina momentum tentang isu-isu yang boleh dibawa sebagai naratif, yang membentuk idealogi dan nuansa politik mereka," katanya lagi.