Kempen PRU14 antara yang terbaik - Ahmad Zahid

Abd Razak Mohd Ali
Mei 9, 2018 10:51 MYT
Ahmad Zahid dan isteri ketika mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 di Madrasah Manbail Ulum, Sungai Nipah Darat hari ini. --fotoBERNAMA
Tempoh kempen 11 hari bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di seluruh negara yang berakhir tengah malam tadi disifatkan lebih baik berbanding PRU sebelum ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun semua penyokong parti yang bertanding berkempen sangat bersemangat, mereka meraikan proses demokrasi dalam keadaan aman dan tenteram.
"Setakat ini, sangat baik. Hanya beberapa laporan polis sahaja dibuat di seluruh negara. Kempen PRU kali ini lebih baik daripada yang lalu.
"Terima kasih kepada pembangkang dan pihak polis yang menjaga ketenteraman awam ketika pra kempen, waktu kempen dan hari ini. Saya harap tiada sebarang insiden berlaku hari ini," katanya.
Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas membuang undi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, Rungkup.
Terdahulu, beliau tiba di pusat mengundi itu diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis dan anaknya Datuk Nurulhidayah.
Ahmad Zahid, penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk selama lima penggal sejak 1995, berdepan calon PKR Pakhrurrazi Arshad dan Ata Abdul Muneim Hasan Adli (Pas).
Pada PRU13, beliau menewaskan calon PKR, Madhi Hasan dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 2,108 undi.
Ahmad Zahid yang juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk buat penggal keenam berkata semua pihak harus memberi kepercayaan terhadap tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan makna demokrasi dapat diterjemahkan dengan sebenarnya.
Beliau turut menegaskan sekali lagi bahawa tiada peti undi awal dibuka sehingga selesai hari pengundian hari ini.
Justeru itu pihak terlibat diberi amaran supaya tidak membuat tuduhan liar serta fitnah terhadap Polis Diraja Malaysia Angkatan Tentera Malaysia dan SPR.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional memaklumkan keputusan pengundian boleh diketahui secara berperingkat yang akan diumumkan oleh SPR bermula pukul 9 malam.
Sebanyak 38 pusat mengundi dengan 92 saluran dibuka di Bagan Datuk hari ini bagi proses mengundi sempena PRU14 yang melibatkan 47,309 pengundi.
#Ahmad Zahid Hamidi #demokrasi #kempen #laporan polis #MalaysiaMemilih #Parlimen #pembangkang #pilihan raya umum #PRU14 #Suruhanjaya Pilihan Raya #Timbalan Perdana Menteri
;