Kempen PRN Melaka: Bersih 2.0, Astro Awani, Sinar Harian & Sin Chew Daily bergabung beri akses saksama semua calon
Astro Awani
November 8, 2021 16:53 MYT
November 8, 2021 16:53 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan kerjasama tiga organisasi media iaitu Astro AWANI, Sinar Harian dan Sin Chew Daily akan menyediakan platform khas kepada semua calon yang bertanding semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini.
Menerusi satu kenyataan bersama, inisiatif Suara Untuk Semua itu terdiri daripada tiga komponen iaitu Suara Calon, khusus bagi setiap calon yang bertanding; Siaran Politik Parti iaitu untuk semua parti dan calon-calon bebas menyuarakan manifesto dan polisi masing-masing serta Dialog antara calon-calon Ketua Menteri Melaka.
"Di bawah inisiatif yang dikenali sebagai Suara Untuk Semua, kesemua 112 calon yang bertanding, tidak kira parti dan ideologi politik, boleh menyediakan klip video tentang diri mereka dan polisi masing-masing untuk dihebahkan menerusi Sinar Harian, Astro AWANI dan Sin Chew Daily dan ada peluang ditemu bual oleh organisasi media ini," memetik kenyataan itu.
Menerusi kenyataan sama, mereka yakin bahawa inisiatif itu akan memberi ruang dan peluang kepada setiap calon untuk menyebar luas mesej kempen mereka kepada para pengundi.
"Pada masa yang sama, kami yakin bahawa usaha ini akan membantu menyuburkan semangat demokrasi pilihan raya, yang mana setiap calon wajar mempunyai platform yang dinamik untuk mendampingi pengundi-pengundi mereka.
"Manakala pengundi pula harus diberikan sebanyak maklumat yang boleh untuk mereka membuat pilihan yang tepat dan memilih wakil rakyat mengikut pilihan mereka," tambah kenyataan tersebut.
Bersih 2.0 akan menyediakan satu halaman mikro khusus di laman web www.bersih.org, yang akan membawa pautan kepada video calon-calon yang akan dimuat naik ke YouTube di mana Astro Awani, Sinar Harian dan SinChew akan menggunakan bahan tersebut untuk tujuan siaran dan hebahan.
Astro AWANI akan menggunakan tanda pagar #SuaraUntukSemua untuk setiap pautan terbaharu yang dikongsi di platform media sosial kami.
Butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.