Kempen paling selesa dan cukup terkawal - Polis
Haider Yutim
Mei 25, 2014 09:37 MYT
Mei 25, 2014 09:37 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi hari ini menyifatkan proses kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor sebagai yang paling selesa dan cukup terkawal bagi dirinya.
"Kempen dalam tempoh 12 hari ini dalam keadaan cukup terkawal... ini lah pilihan raya kecil yang cukup terkawal dan paling selesa bagi diri saya," katanya ketika ditemui di pusat membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Hj Mohd Nor Ahmad.
Bagaimanapun beliau menjangkakan akan berlaku kesesakan lalu lintas dari jam 11.00 pagi hingga petang kerana menurutnya jumlah pengundi di Bukit Gelugor agak ramai.
Justeru, beliau menasihatkan para pengundi dan pengguna jalan raya agar mematuhi segala arahan trafik polis untuk memastikan perjalanan lebih lancar.
Dari segi persiapan, Abdul Rahim memaklumkan, pihaknya telah pun membuat persiapan awal dan berada di lokasi kawalan sejak 6.00 pagi lagi.
"Saya dapati dalam persiapan, polis telah pun dapat kawal dengan baik... dan polis akan pastikan semua dalam tahap keselamatan yang baik," katanya.