Kemenangan PRK hadiah ulang tahun perkahwinan - Streram
Sahlizah Mohamed
April 13, 2019 11:08 MYT
April 13, 2019 11:08 MYT
Bagi calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram, kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau adalah lebih daripada kemenangan politik.
Kata pakar bius itu, memandangkan hari ini (Sabtu) merupakan ulang tahun perkahwinannya, kemenangan PRK akan memberi makna yang lebih buat beliau dan keluarga.
Tambah Streram lagi, beliau berharap berupaya menghadiahkan kemenangannya kepada isterinya, Dr P Pushpagandy dan tiga anaknya.
“Hari ini hari ulang tahun perkahwinan saya dan saya membuang undi di Sekolah Tamil Rantau. Saya berasa sangat gembira dan berharap Tuhan akan bersama-sama kita untuk memenangi DUN Rantau untuk Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Rantau untuk membuang undi pada jam 8:25 pagi pada Sabtu.
Bercakap mengenai keputusan pada malam ini, Streram berkata beliau bersedia menerima apa juga bentuk keputusan dan sekiranya diberi mandat, banyak perkara yang ingin dilakukannya di Rantau termasuk memberi penekanan ke atas isu perumahan dan kesihatan untuk warga Rantau.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Streram, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.
Ia adalah PRK ke tujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).
#Datuk Seri Mohamad Hasan
#Dr P Pushpagandy
#Dr S Streram
#Mohd Nor Yassin
#Pakatan Harapan
#prk rantau
#R Malarvizhi
#Rantau