Kemenangan PH di Pulai, Simpang Jeram bukti kerjasama PH-BN diterima

Hasimi Muhamad
September 9, 2023 23:04 MYT
Suhaizan berkata, kemenangan mereka juga menggambarkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama
JOHOR BAHRU: Kemenangan calon-calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai penerimaan rakyat Johor terhadap kerjasama PH dan Barisan Basional (BN).
Suhaizan Kayat, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai berkata, kemenangan mereka juga menggambarkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ya ia sangat penting kerana dalam PRK Pulai ini kami mengadakan hubungan yang sangat erat dan kerjasama setiap hari yang dipimpin oleh pimpinan-pimpinan besar daripada PH dan BN bagi memperoleh kemenangan.
“Jadi ini mengambarkan bahawa perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan telah diterima baik oleh masyarakat khususnya di Johor.
“… dan saya kira ia juga akan memberikan kesan kepada seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini.
KEPUTUSAN RASMI DAN TIDAK RASMI DI SINI
Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi yang disifatkan rendah, Suhaizan berkata ia dipengaruhi oleh beberapa faktor, dan bukan kerana ‘kelesuan politik’.
Beliau menambah, peratusan keluar undi yang rendah antaranya kerana faktor cuaca.
“Selain itu, PRK ini sebahagian mereka tidak maklum perkara ini dan barang kali tidak berminat untuk turun.
“Kedua, faktor cuaca dari awal pagi hujan dan lembab serta memang biasa PRK peratusan keluar adalah rendah,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratus keluar mengundi bagi PRK Parlimen Pulai adalah sebanyak 47.33 peratus.
#PRK Johor #Pulai #Simpang Jeram #Pakatan Harapan #Barisan Nasional #politik
;