Kemenangan percuma: UMNO Gerik serah pertimbangan parti-parti lain

Abd Razak Mohd Ali
November 18, 2020 10:29 MYT
Aznel yakin, dalam tempoh PKPB ketika ini, pucuk pimpinan UMNO juga akan membuat satu keputusan yang terbaik. - Gambar fail
GERIK: UMNO Gerik menyerahkan kepada parti-parti lain untuk memberi kemenangan percuma kepada parti itu sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan ekoran pemergian penyandangnya Datuk Hasbullah Osman, pada Isnin.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Gerik Datuk Aznel Ibrahim berkata, walaupun cadangan itu datang daripada DAP, tetapi mungkin ada parti lain yang berbeza pandangan.
Menurutnya, pihaknya bersedia di dalam apa juga keadaan, jika berlaku pertandingan.
“Itu pandangan parti DAP, jadi kita kena lihat daripada parti-parti lain yang mungkin tidak sependapat dengannya dan mungkin berpendapat perlu ada pertandingan,” katanya di sini hari ini.
Pada Selasa, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa semua parti politik agar tidak meletakkan calon dan sekali gus memberi kemenangan percuma kepada UMNO di Gerik.
Lim berkata, cadangannya itu dibuat bertujuan mengekang risiko penularan wabak COVID-19 semasa PRK.
BACA: UMNO Perak sedia hadapi kemungkinan PRK Gerik
Aznel yakin, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini, pucuk pimpinan UMNO juga akan membuat satu keputusan yang terbaik.
Menurutnya, sejak dari dahulu lagi, Parlimen Gerik dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya, Pengkalan Hulu dan Temengor, dikuasai UMNO / Barisan Nasional (BN), dengan majoriti selesa.
“Jika semua parti memikirkan masalah COVID, kepentingan orang ramai, atau mungkin (hakikat) tempat ini dari dulu lagi memang dikuasai BN, mungkin mereka boleh mempertimbangkan sama ada perlu meletakkan calon atau pun tidak,” ujarnya.
Hasbullah, 63 tahun, meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang, pada Isnin akibat serangan jantung.
Allahyarham mula bertanding di DUN Temengor ketika Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) 2004, mengalahkan calon PKR dengan majoriti 4,666 undi dan mempertahankan kerusi itu semasa PRU12 dengan menewaskan calon PKR, juga dengan majoriti 4,617 undi.
Pada PRU13, Allahyarham bertanding di kerusi Parlimen Gerik dan menang setelah menewaskan calon Pas dengan majoriti 6,216 undi, seterusnya mempertahankannya pada PRU14 dengan majoriti 5,528 undi, mengalahkan calon Pas dan PKR.
#UMNO #PKR #PAS #Gerik #Parlimen Gerik #pilihan raya kecil #DAP #PRK Gerik #Aznel Ibrahim #bertanding #pertandingan #kemenangan percuma #Barisan Nasional #COVID-19 #parti politik #Lim Guan Eng
;