Kemenangan BN tanda referendum rakyat terhadap PH - Mohamad Hasan
Firdaus Azil
Mac 2, 2019 22:12 MYT
Mac 2, 2019 22:12 MYT
Barisan Nasional percaya kemenangan calonnya Zakaria Hanafi di Semenyih menandakan wujudnya sentimen jelas rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi Kerajaan Pakatan Harapan.
Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, demografi Semenyih boleh memberi gambaran secara keseluruhan perasaan majoriti rakyat yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, terutamanya mengenai janji manifesto pilihan raya umum yang tidak ditepati.
“Tapi real test case adalah Semenyih. Ada penduduk luar bandar, semi bandar, dan dalam bandar. Dan majoritinya pengundi Melayu. Jadi kemenangan ini amat baik, menggambarkan bahawa ia merupakan referendum rakyat untuk menyatakan bahawa rakyat berasa kesal dan tidak puas hati di atas prestasi kerajaan PH ini, setakat ini.
“Rakyat tak puas hati, terutamanya berkenaan janji ditaburkan, yang melenakan pengundi semasa PRU14 dahulu,” katanya kepada sidang media di sini Sabtu malam.
Selain itu, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, kejayaan itu juga hasil kerjasama politik bersama Pas, dan ia jelas mendapat reaksi positif dari kalangan pengundi Melayu Islam, yang menjangkau lebih 70 peratus daripada keseluruhan pengundi di sini.
Katanya lagi, kerjasama itu akan diteruskan bersandarkan kepentingan bersama, bukan sahaja untuk kedua-dua parti, tetapi juga menjadi suara pembangkang yang kuat demi membela kepentingan rakyat
“Bolehlah kita katakan bahawa kerjasama ini akan datangkan faedah kepada kedua pihak. Tapi apa yang kita rangka, kerjasama atas kepentingan bersama, khusus orang Melayu, agama Islam, dan juga kita nak lihat negara ini diurus dengan baik.
“Kita nak check and balance, kerana jika tak ada banyak suara pembangkang boleh imbangi kerajaan begitu kuat, dia tak baik kepada rakyat,” katanya lagi.
#Barisan Nasional
#Mohamad Hasan
#Pakatan Harapan
#pengundi
#politik
#PRK Semenyih
#Semenyih
#semenyihmemilih