Kemenangan BN pada PRK Nenggiri bukti rakyat tolak politik cerca - PM Anwar

Bernama
Ogos 18, 2024 18:00 MYT
Anwar berkata rakyat melihat kemampuan UMNO untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu dan Orang Asli di kubu PAS dan Bersatu di Kelantan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri membuktikan bahawa rakyat menolak budaya politik yang penuh dengan cercaan dan fitnah.
Menyifatkan keputusan PRK DUN Nenggiri sebagai mengejutkan, Anwar berkata rakyat melihat kemampuan UMNO untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu dan Orang Asli di kubu PAS dan Bersatu di Kelantan.
"Dijangka sukar laluannya bagi calon UMNO dan Kerajaan Perpaduan, tetapi keputusan ini mengejutkan. Ini menunjukkan rakyat menolak politik maki hamun, cerca dan fitnah.
"Ini (kemenangan) akan memberikan semangat baru kepada UMNO, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk bekerja lebih kuat, yakin dengan pendirian kita.
"Insya-Allah, lambat-laun rakyat termasuk orang Melayu akan menerima kenyataan perubahan itu akan memberi manfaat kepada mereka dan seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menjadi hos majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di sini hari ini.
Anwar turut merakam ucapan tahniah kepada calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan kemenangan majoriti besar sebanyak 3,352 undi.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail dari PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.
-- BERNAMA
#PRK Nenggiri #Anwar Ibrahim #Politik Malaysia #Orang Asli