Kemenangan BN di Melaka ibarat beri laluan semula kepada pelaku rasuah - Tun M

Hilmi Malik
Disember 6, 2021 15:45 MYT
Negara akan kekal dengan budaya rasuah sekiranya ia dipimpin pemimpin terlibat rasuah kata bekas perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRN) Melaka bulan lalu ibarat memberi laluan semula kepada pelaku rasuah yang sebelum ini telah ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, aktiviti berkempen sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka turut melibatkan pemimpin sama yang terlibat rasuah.
“Dia (Najib) ketika ini masih berdepan dakwaan di Mahkamah dan kemudian kita melihat Barisan Nasional memperoleh majoriti yang besar di Melaka.
“Adakah pengundi di Melaka telah lupa apa yang Najib telah lakukan sebelum ini atau mereka (pengundi) telah memaafkan segala perbuatan Najib,” katanya menerusi hantaran di blognya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tun Mahathir beranggapan berkemungkinan pengundi tidak lagi peduli berhubung perkara tersebut atau mendapat sebarang imbuhan daripada pelaku rasuah berkenaan.
“Pemikiran seperti ini ibarat mengembalikan semula pemimpin rasuah menjelang PRU akan datang, dan apa yang bakal terjadi kepada negara jika ia dipimpin ahli politik yang korup,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat, budaya kleptokrat seolah-olah tidak akan berubah malah ia akan tetap berpegang kepada prinsip ‘Cash is King’ yang tidak mustahil harta kerajaan kembali dicuri.
Ujar Tun Mahathir lagi, individu seumpama itu akan terus menerus mengamalkan budaya rasuah sehingga negara menjadi korup mengakibatkan tiada pelabur luar mahupun pihak yang berkunjung ke negara ini.
“Dilucutkan pelaburan, tiada pekerjaan akan diwujudkan untuk menampung beribu-ribu graduan yang dihasilkan setiap tahun dan orang lain yang tidak berkelayakan akan kekal menganggur.
"Perniagaan sama ada besar dan kecil akan gagal. Negara akan mengalami kemurungan. Ia akan menjadi sebuah negara yang gagal,” katanya lagi.
#Mahathir Mohamad #Rasuah #Najib Razak #Barisan Nasional
;