Kemelut UMNO Perlis: Selama ini Zahid bersabar - Tajuddin

Sinar Harian
April 27, 2021 06:55 MYT
TAJUDDIN: Selama ini, dia sabar. Kalau ikuti perkembangan ini, presiden ini sabar. Tapi sampai masa dia tak boleh lagi sabar. -Gambar fail
KANGAR: Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis disifatkan sebagai tepat pada masanya setelah sekian lama dicabar dan bersabar.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan Ahmad Zahid menunjukkan sifat kepimpinannya yang tegas sebagai peneraju parti UMNO.
Menurutnya, Ahmad Zahid juga sememangnya mempunyai hak sama ada mahu melantik dan menggugurkan sebarang jawatan yang dilantik, malah ia sama sama sekali tidak menggugat parti.
"Kenapa pula (UMNO tergugat)? Itu menunjukkan presiden, seorang yang tahu apa yang perlu dibuat apabila dia dicabar, dihina, dikutuk, disindir dan macam-macam lagi.
"Selama ini, dia sabar. Kalau ikuti perkembangan ini, presiden ini sabar. Tapi sampai masa dia tak boleh lagi sabar.
"Kalau dia biarkan seolah-olah parti ini presidennya lemah, tidak boleh tangani masalah dalam parti.
"Jadi saya rasa memang sudah sampai masanya presiden menunjukkan ketegasan dalam kepimpinannya.
"Tiada yang salah," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Iftar Bersama Media dan Previu Video Raya Kumpulan Prasarana di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengguguran Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis yang menimbulkan reaksi kurang senang UMNO negeri itu.
Sabtu lalu, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan terdapat pertukaran jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis apabila jawatan yang disandang oleh Shahidan Kassim digantikan kepada Datuk Seri Azlan Man berkuatkuasa serta merta.
Susulan itu, Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau membuat ketetapan untuk menolak pelantikan Azlan.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, tindakan Ahmad Zahid tidak wajar dipertikaikan dan soal puas hati atau tidak ia terpulang kepada individu masing-masing.
"Apa nak dipertikaikan lagi? Reda saja. (Keputusan) itu tiada masalah. Bukan dia melanggar peraturan atau perlembagaan parti. Itu proses biasa," katanya.
Berita asal: Selama ini Zahid bersabar: Tajuddin
#Zahid Hamidi #umno perlis #Tajuddin Abdul Rahman #Shahidan Kassim #Azlan Man #Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis
;